mk-logo
Berita
Polis tahan Patrick Teoh atas dakwaan hina TMJ
Diterbitkan:  May 9, 2020 11:19 PM
Dikemaskini: May 10, 2020 12:17 AM

Polis telah menahan selebriti Patrick Teoh atas tuduhan menghina Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut The Star, peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Teoh, berkata juruhebah terkenal itu didakwa telah berkongsi semula video lama Tunku Ismail dan yang lain yang berpakaian tentera dan mengendalikan senjata api.

Teoh didakwa telah menghamburkan kata-kata kasar ketika berkongsi video itu di akaun Facebooknya pada hari Khamis.

Rajan berkata hantaran itu kini telah dipadam dan satu laporan polis telah dibuat berhubung hantaran berkenaan.

"Dia dijangka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan malam ini (9 Mei) untuk direman esok (10 Mei)," kata peguam itu kepada The Star.

Teoh sebelum ini dilapor hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Petaling Jaya untuk diambil keterangannya.

Polis telah merampas komputer riba milik Teoh selepas beliau memberikan kenyataan di Petaling Jaya malam ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan sedang dijalankan oleh polis Johor.

"Kami (polis Petaling Jaya) hanya membantu dalam merakam kenyataannya," jelasnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan rangkaian yang tidak betul.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS