mk-logo
Berita
Menteri: Tiada perjalanan rentas negeri pada 1 hingga 3 Mei
Diterbitkan:  Apr 26, 2020 5:32 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Menteri kanan untuk kluster keselamatan Ismail Sabri Yaakob hari ini menjelaskan bahawa orang ramai tidak dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri pada 1 hingga 3 Mei ini.

Mulai 1 Mei ini, kata Ismail, polis, Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara akan meneliti semua permohonan untuk perjalanan rentas negeri.

Ismail turut menegaskan bahawa selepas penelitian dibuat, kerajaan akan menetapkan perjalanan yang boleh dilakukan.

"Seperti saya katakan ini bukan straight forward. (Perjalanan) bukan dari kampung ke tempat kerja (dan tinggal) sahaja, ini mereka di bandar nak balik kampung," katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Antaranya pihak berkuasa perlu meneliti sama ada perjalanan dari tempat bertolak ke destinasi yang dikategorikan dalam zon berbeza, dibenarkan atau tidak.

Pihak berkuasa juga perlu memutuskan bila perjalanan itu dibolehkan.

Mereka yang ingin membuat perjalanan itu boleh membuat permohonan di aplikasi Gerak Malaysia atau balai polis, sehingga 1 Mei ini.

Kerajaan kini sedang menimbang untuk membenarkan perjalanan rentas negeri, terutama bagi mereka yang terkandas di kampung halaman walaupun tinggal di bandar.

Terdahulu hari ini, terdapat seperti ada silap komunikasi antara polis dan MKN.

Polis telah mengeluarkan kenyataan menyatakan perjalanan rentas negeri boleh dibuat pada 1 hingga 3 Mei dan aplikasi Gerak Malaysia akan digunakan sebagai “permit perjalanan”.

Polis juga berkata rakyat dari berlainan negeri akan membuat perjalanan pada hari yang berbeza.

Sementara itu, Ismail berkata mahasiswa yang tidak dapat dapat pulang ke rumah kerana terletak dalam kawasan zon merah akan diberi pilihan untuk tinggal di rumah saudara mara.

“Mereka boleh tinggal (sementara waktu) di rumah adik-beradik (saudara) mereka,” kata Ismail.

Bermula 27 April, kerajaan akan menghantar pelajar universiti untuk pulang, jika rumah mereka terletak dalam zon hijau.

Mereka dibenarkan pulang jika telah menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) di kampus masing-masing selama lebih sebulan. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS