Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar beri amaran monopoli jika MAS-AirAsia bergabung
Diterbitkan:  Apr 20, 2020 7:08 PM
Dikemaskini: 11:08 AM

Sektor penerbangan adalah antara yang paling teruk terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan berkemungkinan besar menyebabkan kebanyakan syarikat terbabit secara teknikalnya bankrap.

Syarikat penerbangan utama Malaysia juga tidak terkecuali dan pakar berpendapat pelan menyelamat adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan, namun penggabungan antara syarikat-syarikat terbabit bukanlah antara pilihan tersebut.

Ketua Perunding Penerbangan Endau Analytics, Shukor Yusof menyifatkan penggabungan antara Malaysia Airlines Bhd (MAB) dan AirAsia Group misalnya akan hanya menjejaskan pengguna Malaysia kerana langkah itu mewujudkan monopoli bagi laluan utama yang menjadi saingan sengit bagi kedua-dua syarikat pada masa ini.

Malah, ketika ini AirAsia menguasai 50 peratus pasaran manakala MAB yang dimiliki oleh dana strategik negara Khazanah Nasional Bhd, pula sebanyak 30 peratus.

Sebarang penggabungan itu mewakili kira-kira 80 peratus bahagian pasaran yang menjadikan dominasi ketara dan membolehkannya menjadi penentu harga, katanya.

Sehubungan itu, langkah sedemikian bukanlah pilihan orang ramai serta boleh menyebabkan kenaikan harga tambang, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini bahawa langkah penggabungan MAB dan AirAsia adalah antara pilihan untuk menyelamatkan kedua-dua syarikat yang terkesan akibat COVID-19.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, perbincangan mengenai pilihan lain akan turut diadakan tidak lama lagi dalam usaha menyelamatkan industri penerbangan negara.

Untuk rekod, gesaan supaya penggabungan MAB dan AirAsia itu bukanlah sesuatu yang baharu dan pernah dibincangkan sebelum ini walaupun tidak menghasilkan sebarang keputusan muktamad.

“Tidak banyak sinergi yang dapat dicapai daripada penggabungan kedua-dua syarikat itu kerana mempunyai model perniagaan serta budaya korporat yang jauh berbeza,” jelas Shukor.

Oleh itu, beliau berpendapat, kata putus membabitkan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu bukanlah semata-mata terletak di tangan kerajaan dan pemiliknya.

“Ada sekurang-kurangnya 13,000 kakitangan MAB dan setiap suara mereka perlu didengari. Mereka perlu mengadakan referendum dengan MAB bagi mengenal pasti minat atau pandangan mengenai penggabungan itu dan hanya selepas itu langkah seterusnya dapat diambil,” katanya.

Seorang lagi pakar yang enggan dikenali berkata, satu-satunya perkara positif daripada cadangan langkah penggabungan itu adalah bagaimana kedua-dua syarikat penerbangan itu dapat memanfaatkan sumber masing-masing.

“Mereka dapat menggerakkan rangkaian penerbangan secara berkesan dan pada masa sama mengurangkan bebanan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat itu,” katanya.

Namun, beliau yakin sebarang tindakan meluluskan penggabungan itu akan menyaksikan kemungkinan sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja sedia ada kehilangan pendapatan, sekali gus meningkatkan angka pengangguran yang dijangka kira-kira 2.6 juta pasca tempoh COVID-19.

Dari segi segmen, katanya, AirAsia merupakan sebuah syarikat penerbangan penuh yang menjana pendapatan berdasarkan keputusan sendiri, bebas terbang ke mana sahaja serta boleh menarik diri mengikut budi bicara sendiri.

MAB sebaliknya sebagai sebuah syarikat penerbangan nasional, beroperasi dalam segmen lebih premium dan keputusan operasinya juga tertakluk kepada kata putus kerajaan.

Atas dasar itu, beliau sependapat dengan Shukor bahawa penggabungan MAB-AirAsia bukanlah pilihan terbaik dan seharusnya dijadikan pilihan akhir apabila semua pertimbangan terbukti gagal.

“Malah, ia perlu melalui penilaian dan keputusan pihak Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM). Pihak MAVCOM ini adalah sebuah pengawal selia ekonomi industri penerbangan yang bebas dan kewujudannya perlu dihormati kerana telah ditubuhkan oleh kerajaan,” katanya.

Jelas beliau, suruhanjaya itu mempunyai kapasiti menentukan kebolehlaksanaan penggabungan itu mengikut Seksyen 54 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia dan garis panduan persaingan yang ada.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) sebelum ini menganggarkan bahawa impak penularan COVID-19 terhadap industri penerbangan adalah ‘amat serius’ dengan hasil suku kedua (2020) dijangkakan susut sehingga 68 peratus.

Beliau berkata suku terbabit akan turut mencatat kerugian besar mencecah sehingga US$39 bilion dengan kebanyakan syarikat penerbangan berkemungkinan besar bankrap dalam masa terdekat jika tidak mendapat bantuan kerajaan.

Bagi tempoh setahun penuh, IATA mengunjurkan kerugian hasil (perolehan daripada penumpang) mencatat US$314 bilion iaitu merosot 55 peratus berbanding pada 2019.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS