Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sesetengah hospital berdepan kekurangan bekalan PPE
Diterbitkan:  Apr 17, 2020 4:39 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2020 12:11 PM

Peralatan perlindungan peribadi ((PPE) untuk kakitangan di barisan hadapan terus menjadi isu yang membimbangkan, menurut doktor.

Tambahan pula, Kementerian Kesihatan mengumumkan akan melakukan ujian saringan secara besar-besaran yang seterusnya akan meningkatkan penggunaan dan permintaan PPE yang telah sedia kurang.

Pada masa ini, bekalan PPE di hospital adalah berbeza di antara satu sama lain dengan beberapa hospital menghadapi kekurangan.

Seorang pakar dari sebuah hospital kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa bekalan PPE di hospitalnya mencukupi.

"Kakitangan hospital kami juga telah melakukan banyak untuk mendapatkan pelindung muka dan komponen PPE lain," kata doktor itu yang enggan namanya disiarkan.

Katanya lagi, beliau juga tidak melihat penggunaan PPE buatan sendiri sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, sesetengah hospital menghadapi kekurangan bekalan PPE.

Seorang doktor mendakwa walaupun banyak sumbangan PPE dari China, NGO dan orang ramai, hospital tempat dia bertugas hanya mempunyai bekalan PPE untuk beberapa hari sahaja lagi.

Ini memaksa kakitangan perubatan di hospital berkenaan yang dilaporkan merawat lebih 100 pesakit Covid-19 'mencatu' peralatan seperti topeng N95.

"Buat masa ini, kami tidak mempunyai topeng N95 yang cukup. Ada kekurangan yang sangat-sangat buruk," keluh doktor yang enggan namanya disiarkan.

Beliau berkata topeng N95 dikhaskan untuk pekerja kesihatan menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19 seperti sewaktu intubasi, dan membekalkan oksigen kepada pesakit.

'Kami masih gunakan beg sampah untuk PPE'

Doktor berkenaan juga mendedahkan terdapat kekurangan topeng pembedahan tiga lapis, yang menyebabkan kakitangan perubatan berhati-hati apabila memakainya.

"Dulu apabila kamu jumpa dengan pesakit, kamu tukar (topeng muka) kepada yang lain . Tetapi sekarang ia hampir seperti topeng satu setiap hari," katanya.

Doktor tersebut berkata petugas barisan hadapan di hospitalnya masih menggunakan beg sampah plastik untuk melindungi kepala dan kaki.

"Ia bergantung kepada zon hospital juga. Zon tertentu mungkin cukup, dan zon tertentu tidak. Jadi mereka akan gunakan beg plastik," katanya.

Doktor itu berkata terdapat kebimbangan kakitangan perubatan yang bekerja di jabatan kecemasan mungkin tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi.

"Seseorang pesakit tidak tahu mereka mempunyai (jangkitan) Covid-19 jadi terdapat kebimbangan jika mereka (pekerja kesihatan) tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi.

"Ironinya, mereka yang berurusan dengan pesakit positif Covid-19 dilindungi lebih baik," katanya.

Pada 11 April, seramai 41 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 melalui pesakit, termasuk sembilan daripada pesakit yang statusnya tidak diketahui sebelum rawatan.

Majoriti petugas kesihatan dijangkiti daripada pesakit yang menghadapi sindrom pernafasan akut teruk. 

Kementerian Kesihatan mengiystharkan semua pesakit berkenaan dianggap sebagai suspek pesakit Covid-19.

Ujian besar-besaran beri kesan bekalan PPE

Lebih penting adalah untuk memastikan bekalan PPE mencukupi di hospital apabila pemeriksaan Covid-19 secara besar-besaran bermula.

Minggu lalu dilaporkan Malaysia melakukan 1,255 ujian daripada sejuta orang berbanding 6,800 ujian per juta orang di Singapura dan 6,500 ujian per juta orang di Korea Selatan.

Kerajaan berhasrat meningkatkan kapasiti ujian kepada 16,500 sehari pada pertengahan bulan ini, tetapi masih kekal pada 11,500 ujian semalam.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata ujian besar-besaran boleh dilakukan tidak lama lagi apabila memperolehi kit pantas ujian dari Korea Selatan.

Namun, tidak jelas berapa banyak ujian yang dirancang oleh kementerian itu setiap hari sebaik sahaja alat itu tiba.

Bekas menteri kesihatan, Dzulkefly Ahmad, ketika dihubungi berkata walapun hasrat kementerian meningkatkan ujian Covid-19 perlu dipuji, perhatian juga harus diberikan kepada  petugas kesihatan.

"Namun, kita ingin memperingatkan dan mengingatkan mereka, untuk memastikan barisan depan kita tidak terganggu.

"Cabaran bagi Kementerian Kesihatan dan kemudahan lain, adalah mesti ada pertambahan PPE," katanya kepada Malaysiakini.

Apabila pemeriksaan Covid-19 dilakukan, petugas kesihatan perlu menukar lapisan luar PPE yang mereka pakai setiap kali pesakit diuji.

Ini bermaksud mereka memerlukan sekurang-kurangnya sepasang sarung tangan, apron pelindung, pelindung muka, topeng penutup mulut dan hidung, dan penutup kepala setiap kali pesakit diuji.

Keperluan untuk menukar PPE adalah untuk mengelakkan jangkitan dari satu pesakit kepada pesakit yang lain.

Sehubungan itu, Dzulkefly berkata kerajaan harus melakukan usaha untuk mengatur penghasilan PPE dengan lebih baik bagi memastikan bekalan PPE mencukupi.

Di Selangor, bekas menteri kesihatan itu berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Amirudin Shari agar beberapa industri pembuatan terlibat dalam menghasilkan PPE.

"Itu akan merintis jalan ke depan. Syarikat juga dapat memperoleh pendapatan," tambahnya.

Salah seorang doktor yang bercakap dengan Malaysiakini juga mencadangkan kerajaan mengatur sukarelawan untuk menghasilkan PPE secara bebas bagi meningkatkan pengeluaran.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS