Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Armada gesa kerajaan 'selamatkan' penuntut M'sia di luar negara
Diterbitkan:  Apr 9, 2020 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Pemuda Bersatu (Armada) meminta kerajaan Malaysia agar 'menyelamatkan' pelajar Malaysia di luar negara bagi memastikan kebajikan mereka terbela ketika berdepan situasi sukar Covid-19 di negara asing.

Exco Biro Perhubungan Antarabangsa Armada, Mohd Muzzammil Ismail, berkata bantuan melalui pejabat kedutaan dan Education Malaysia di setiap negara amat diperlukan ketika ini.

Jelasnya, kenyataan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison yang mengesa pelajar antarabangsa untuk pulang ke negara asal masing-masing jika menghadapi masalah kewangan susulan langkah kuarantin sekatan pergerakan (lockdown) cukup tidak bertanggungjawab.

"Kenyataan daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison jelas tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri.

"Penuntut Malaysia di Australia dianggarkan seramai 30,000 orang berdepan dengan risiko barang keperluan terhad dan kekangan kewangan untuk sara diri.

"Kami juga menerima maklumat daripada pelajar di Indonesia melalui wakil persatuan pelajar di sana yang menyuarakan kekhuatiran yang sama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Scott Morrison 

Pada 6 April lalu Majlis Pelajar Malaysia di Australia (Masca) dilaporkan terkilan dengan kerajaan Australia yang mahu pelajar antarabangsa pulang ke negara asal jika menghadapi masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19.

Pengerusi Masca, Zayana Zaikariah berkata kenyataan itu menunjukkan kerajaan Australia tidak memahami situasi dihadapi ramai penuntut semasa tempoh mencabar ini.

"Terutamanya ketika ibu bapa mereka berdepan kekangan kewangan. Pelajar juga menghadapi masalah seperti penutupan sempadan, syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Malaysia dan harga tiket yang melambung tinggi.

"Walaupun kerajaan Australia telah memberikan beberapa bantuan, ia tidak mencukupi, dalam keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini," kata penuntut Australian National University kepada Bernama.

Sementara itu Muzzammil berkata, Armada memandang memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan rakyat yang berada di luar negara.

"Bantuan daripada pihak Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan agensi-agensi Malaysia di Australia amatlah diperlukan dalam memastikan kebajikan rakyat kita di Australia, Indonesia dan seluruh negara terjaga.

"Biro Perhubungan Antarabangsa Armada akan berhubung dengan wakil-wakil pelajar disana selain agensi kerajaan dalam mendapatkan maklumat semasa dan bentuk bantuan yang diperlukan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS