Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri Alam Sekitar tak setuju 'serangan' pada wartawan
Diterbitkan:  Mar 15, 2020 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man berkata beliau tidak bersetuju dengan 'serangan' peribadi terhadap wartawan.

"Saya tidak bersetuju dengan serangan peribadi kepada mana-mana wartawan.

"Silap faham, salah petik dari konteks sebenar dan rumusan tersasar adalah perkara biasa.

"Ia harus ditangani dengan penjelasan secara profesional," kata Tuan Ibrahim.

Timbalan presiden PAS itu merujuk kepada serangan peribadi terhadap wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie, yang diserang di Facebook berhubung laporan pada hari Rabu yang memetik Tuan Ibrahim.

Pada laporan itu, Tuan Ibrahim dipetik sebagai mempertahankan aktiviti pembalakan di Kelantan.

Khamis lalu, seorang penggun Facebook mendakwa artikel Malaysiakini itu adalah rekaan kerana menurutnya ia tidak ditanya ketika sidang media Tuan Ibrahim - yang diadakan sehari sebelumnya - yang turut disiarkan dalam talian.

Kementerian itu kemudiannya mendakwa bahawa artikel Malaysiakini tidak tepat, tetapi Malaysiakini mempertahankan laporan itu berdasarkan 'sesi doorstep' atau 'wawancara pintu'.

'Doorstep' adalah apabila wartawan, termasuk daripada Malaysiakini, bercakap dengan menteri selepas sidang media selesai.

Klip video sesi itu boleh ditonton di KiniTv.

Kiriman Facebook yang membuat dakwaan itu sudah dilaporkan ke Facebook tetapi laporan itu pada awalnya ditolak atas alasan bahawa "ia tidak melanggar mana-mana Piawai Komuniti".

Piawai Komuniti Facebook menyatakan bahawa ia tidak membenarkan ucapan kebencian.

Semakan semula terhadap laporan yang ditolak itu menyebabkan hantaran itu telah dipadam selama beberapa jam.

Bagaimanapun hantaran itu kemudian disiarkan semula dan permintaan untuk semakan seterusnya telah ditolak pada Jumaat.

Komunikasi lanjut dengan Facebook dan hantaran lain yang menunjukkan gangguan terhadap Kow akhirnya membawa kepada pemadaman kiriman itu pagi ini.

Dalam kiriman emelnya, ketua komunikasi Facebook Malaysia Serena Siew mengesahkan bahawa kiriman itu telah dipadam.

"Apabila kami menyedari kandungan yang mengganggu itu, kami mengkaji semula dengan pasukan operasi komuniti kami.

"Kami mendapati bahawa kiriman itu melanggar Piawai Komuniti kami dan kini telah dipadam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS