Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantikan Zulkifli dapat elak jawatan menteri agama dipolitikkan - penganalisis

Pelantikan bekas mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad, sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menjaga hal ehwal agama merupakan strategi bijak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kata penganalisis politik.

Bagi penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar, hal itu memandangkan taraf mufti yang dipandang tinggi golongan Melayu-Islam, menyebabkan pandangannya lebih mudah diterima berbanding tokoh lain yang  menyampaikan pandangan serupa.

“Kalaulah kita bandingkan, satu-satu idea progresif yang disuarakan oleh mufti dan, katalah dibandingkan dengan bekas menteri agama kita, Mujahid Yusof, sudah tentu mereka (golongan Melayu-Islam) akan lebih cenderung kepada mufti.

“[...] Kerana kedudukan dia (Zulkifli) sebagai mufti.

“Perkara yang sama, pendirian yang sama, antara bekas mufti ini (Zulkifli) dan seorang tokoh agama yang lain yang tiada kedudukan mufti, sama ada dari BN atau PH, pada pendapat saya mereka lebih mudah menerima pendapat mufti,” katanya kepada Malaysiakini.

Memandang Zulkifli sebagai seorang yang progresif, berfikiran terbuka dan sering terlibat dalam dialog antara agama, Chandra menyambut baik lantikan Zulkifli dalam kabinet baru kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik Dr Jeniri Amir mengakui keputusan Muhyiddin untuk melantik Zulkifli sebagai satu “kejutan”, bukan sahaja buat rakyat, tetapi juga buat pemimpin PAS yang disebut-sebut akan menjawat jawatan menteri agama.

Jeniri Amir.

Namun, baginya, perhitungan Muhyiddin untuk meletakkan tokoh nonpartisan sebagai menteri itu merupakan langkah tepat agar jawatan itu tidak dipolitikkan, lebih-lebih lagi menurutnya, hal-hal berkaitan agama adalah hal yang sensitif.

“Kemungkinan perdana menteri cuba mengelak daripada pemimpin PAS dilihat menyuntik terlalu kuat ideologi agama berdasarkan kepemimpinan dan perjuangan PAS selama ini, ini tak begitu baik untuk negara yang mempunyai demografi pelbagai agama dan kaum,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, seorang menteri agama haruslah melaksanakan dasar yang sesuai dengan ajaran Islam dan perlembagaan, dalam masa yang sama tidak menafikan hak golongan bukan Islam di negara ini.

“Jadi saya fikir menteri agama berkenaan (Zulkifli) dapat memainkan peranan, dilihat sebagai (selalu) mengambil jalan tengah, tidak terlalu kiri dan tidak terlalu kanan,” katanya yang menyifatkan Zulkifli sebagai seorang tokoh agama yang moderat.

“[...] Beliau perlu mengemukakan naratif politik dan agama yang tidak terlalu ekstrem sehingga boleh mencetuskan rasa tidak selesa dalam kalangan bukan Islam.

"Keharmonian dari segi keagamaan itu perlu dipelihara, pada waktu yang sama, tidak menafikan hak-hak yang bukan Islam,” tambahnya lagi. 

Tak perlu sertai parti politik

Zulkifli merupakan salah seorang daripada dua individu bukan daripada latar belakang politik yang dilantik menjadi menteri kabinet.

Seorang lagi ialah bekas CEO Kumpulan CIMB, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilantik sebagai menteri kewangan.

Zulkifli dikenali dengan pendekatannya yang sederhana selama menjadi mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014.

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah juga turut menyifatkan lantikan Zulkifli dapat mengelakkan kontroversi kerana imej positif yang dibawanya, selain disegani oleh banyak pihak, termasuklah artis dan golongan yang tidak terlibat dalam kerja-kerja keagamaan.

"Ini satu yang istimewa dan menarik, kita harap dengan adanya tokoh seperti ini semua golongan boleh sama-sama memahami tentang Islam dan boleh menjayakan cita-cita Islam pada masa akan datang.

"Kalau letak orang parti mungkin akan ada kontroversi sama ada daripada PAS atau Umno. Tetapi kalau letak orang yang neutral, ia memberi satu imej yang positif," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Malah, timbalan menteri besar Kelantan itu turut melihat tidak ada keperluan bagi Zulkifli menyertai mana-mana parti politik selepas ini, kerana beliau telah dilantik sebagai senator untuk menjadi menteri.

"Saya rasa apabila letak (bekas) mufti ini sebagai menteri yang menjaga agama, imejnya lebih baik berbanding yang terdahulu," katanya.

Pandangan senada turut disuarakan Chandra dan Jeniri, yang berpendapat Zulkifli perlu kekal sebagai menteri yang “berkecuali” dan “bebas”.

“Jangan masuk mana-mana parti politik. Kredibiliti beliau akan lebih terjamin jika beliau tak masuk mana-mana parti politik.

“[...] Sekiranya dia masuk Umno atau PAS, mungkin kedudukan kepartiannya akan menjadi isu. Elok dia kekal sebagai suara bebas,” kata Chandra.

“Lebih baik beliau hanya dilihat sebagai berkecuali dan tidak dipengaruhi mana-mana ideologi politik, bagi memungkinkan beliau melakar dasar dan kenyataan yang tak menyinggung mana-mana pihak.

“Beliau harus berada di atas politik (melangkaui politik). Agama kita terlalu banyak dipolitikkan, sehingga boleh bukan sahaja merosakkan agama itu sendiri, tetapi boleh menjejaskan reputasi kerajaan terbabit,” kata Jeniri pula.

Zulkifli mendahului upacara mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara pagi tadi, di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, V S Vigneswaran, bersama lima senator lain.

Beliau akan dibantu oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dari PAS sebagai timbalan menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS