Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beberapa pihak, termasuk daripada kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar Dr Dzulkefly Ahmad kembali memegang jawatan menteri kesihatan.

Ketika ditanya berhubung perkara berkenaan, pemimpin Amanah itu enggan memberi respons lanjut.

"Saya mahu menunggu surat rasmi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang maklum balas.

"Saya perlu melihat terma dan syarat terlebih dahulu, sama ada ia benar-benar 'khidmat negara'.

"Risiko juga tinggi untuk saya," katanya kepada Malaysiakini dalam mesej WhatsApp hari ini, dipercayai merujuk bahawa partinya, Amanah merupakan parti komponen PH, yang ditumbangkan baru-baru ini.

Dzulkefly, yang merupakan pengarah strategi Amanah, berkata demikian selepas ditanya mengenai cadangan agar beliau kembali ke kabinet, terutamanya dengan wabak Covid-19 yang berterusan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setakat ini cadangan itu hanyalah khabar angin dan dia tidak pernah mendengar cadangan rasmi.

Malaysia kini tidak mempunyai menteri, termasuk di Kementerian Kesihatan krisis kemelut politik minggu lalu menyaksikan pembentukan kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin belum lagi menubuhkan kabinet barunya.

Prestasi Dzulkefly sebagai menteri kesihatan sebelum ini mendapat pujian, terutama dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Malaysia kini berdepan gelombang kedua penyebaran Covid-19 selepas jumlah kes yang disahkan di negara ini baru-baru ini melonjak kepada 55 kes.

Bekas senator Umno, Khairul Azman Harun, berkata bahawa prestasi Dzulkefly mungkin lebih baik berbanding menteri sebelumnya di Kementerian Kesihatan sekiranya beliau berkhidmat lebih lama.

Khairul kemudian menyatakan harapannya agar Muhyiddin melantik semula Dzulkefly memegang jawatan itu.

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pula mencadangkan agar Dzulkefly diberi peluang untuk bersama pasukan kementerian untuk menangani Covid-19.

"Rasanya tidak salah Dzulkefly, sebagai seorang wakil rakyat diberi peluang untuk terus bersama team pengurusan kawalan Covid-19..kepentingan awam perlu di dahulukan dari kepentingan kelompok politik. Saya secara peribadi cadangkan Dzulkefly terus bersama membantu," katanya dalam kenyataan di Twitter.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng juga menggesa Muhyiddin untuk melantik semula Dzulkefly sebagai menteri kesihatan.

Ahli Parlimen PKR itu menyifatkan bahawa Dzulkefly, yang memegang PhD dalam toksikologi, memainkan peranan penting dalam menyediakan kepimpinan yang sangat diperlukan dalam respons awal terhadap wabak Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS