Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LANGSUNG: Serah Dewan Rakyat tentukan Dr M jadi PM - Marzuki

LANGSUNG | Dengan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku pantas dalam negara sejak semalam, Malaysiakini membawakan laporan langsung mengenainya di sini.

Ikuti laporan wartawan kami mengenai gerakan penjajaran baru politik Malaysia di sini.


Terima kasih kerana mengikuti laporan langsung Malaysiakini

Sekian liputan kami mengenai keruntuhan kerajaan PH, Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu. Terus ikuti kami untuk perkembangan penjajaran baru politik negara esok.

Jika anda suka laporan kami, sokong media bebas dengan melanggan Malaysiakini dengan harga serendah RM0.55 sehari. Maklumat lanjut di sini.


LANGSUNG

12.20 malam - Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya menafikan terdapat anggota parlimen atau pimpinan Bersatu yang di war-warkan keluar parti.

Ini selepas Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Bersatu tengah hari tadi.

Menurut Marzuki keputusan Bersatu keluar PH dibuat sebulat suara oleh MT parti.

Ketika ditanya pemberita, beliau juga menafikan kemungkinan wujudnya kerjasama Pakatan Nasional.

Menjelaskan lanjut, kata Marzuki tindakan Dr Mahathir itu "menyerahkan kepada Dewan Rakyat untuk menentukan beliau sebagai PM Malaysia.

"Tidak timbul soal Umno, PAS atau mana-mana pihak. Ini terserah MP untuk sokong Tun (Dr Mahathir Mohamad) sebagai PM," katanya.


11.40 malam: Hampir 100 penyokong Bersatu berkumpul di luar ibu pejabat parti itu sementara menunggu para pemimpin mereka yang bermesyuarat malam ini.

Apabila Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman keluar dari bangunan itu, beliau dikerumuni para penyokongnya yang mula berteriak dan menolak pemberita bagi memberi laluan kepada Saddiq berjalan ke arah keretanya, yang menyebabkan sedikit keadaan sedikit kecoh.

Walaupun cubaan dibuat untuk menyoal mengenai isi pertemuan malam ini, beliau mengunci mulutnya.

Para penyokong memasuki lagu parti sejurus selepas dia pergi.

Mereka juga melaungkan slogan "hidup Tun" sambil menanti mesyuarat berakhir. Pada suatu ketika mereka berseloroh menjeritkan "hidup PD" dipercayai merujuk kepada MP Port Dickson Anwar Ibrahim.

Kira-kira setengah jam kemudian, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meninggalkan bangunan itu ketika para penyokong yang berkumpul menyanyikan lagu parti.

Ketika ditanya pemberita, Muhyiddin berkata Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya akan mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.


11:30 malam - Kebanyakan pemimpin BN dan PAS telah meninggalkan Cafe Riverside di PWTC.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula beredar tanpa dapat dikesan.

MP Umno dari Kuala Krau Umno, Ismail Said membayangkan terdapat arahan untuk pergi ke Istana Negara esok.

"Kami datang (malam ini) untuk berbincang.

Pasir Salak MP Tajuddin Abdul Rahman hints the same.

"Kalau kami dapat arahan, kami akan pergi," katanya kepada media.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman berkata demikian.

"Mungkin," katanya ringkas ketika ditanya sekiranya MP Umno akan pergi ke istana negara.

"Bukan sahaja (MP) Umno," katanya.

Sementara itu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau menghadiri mesyuarat malam ini untuk mengikuti perkembangan politik.

"Saya hanya boleh mengesahkan saya di sini untuk memantau apa yang sebenarnya berlaku. Kita tidak tahu. Keadaan ini sangat tak boleh dijangka [...]

"Sekiranya diadakan pilihan raya, kami bersedia untuk itu," katanya.


11.25 malam: Majlis Tertinggi Bersatu yang bermesyuarat malam ini menolak peletakan jawatan Mahathir sebagai pengerusi parti, menurut sumber.

Mereka juga memutuskan untuk menyokong sepenuhnya Mahathir sebagai perdana menteri, dan untuk para anggota parlimen untuk menyuarakan sokongan itu apabila bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong esok.

Difahamkan mereka tidak membincangkan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ketika ditemui selepas mesyuarat itu, anggota MT Bersatu Rafiq Naizamohideen mengesahkan peletakan jawatan Dr Mahathir ditolak, dan para pemimpin parti akan bertemu dengan perdana menteri interim esok.

"Esok pagi, akan ada pertemuan peribadi antara majlis tertinggi dan Tun di rumahnya ... Kami akan cuba mengaturnya," katanya.

Katanya, Bersatu mahu Mahathir terus memimpin parti dan negara ke tahap yang lebih gemilang.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan mengapa perdana menteri interim meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

"Itu sangat peribadi, kami tidak boleh mendedahkannya," jelas Rafiq.


10:10 malam: Presiden PAS Abdul Hadi Awang dikawal unit keselamatan ketika meninggalkan Riverside Cafe, PWTC di Kuala Lumpur.

"Mari kita tunggu dan lihat apa perkembangan seterusnya," kata beliau ringkas ketika didekati pemberita.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz Nik Mohamad Abduh Nik Aziz juga dilihat meninggalkan tempat itu. Beliau juga enggan mengulas tujuan pertemuan dengan pemimpin Umno malam ini.

Bekas presiden Umno Naib Razak juga muncul kemudiannya. Beliau cuma tersenyum lebar apabila dihujani soalan daripada pemberita.

"Saya tidak akan beri sebarang kenyataan hari ini," kata bekas perdana menteri itu.

Timbalan presiden MIC M Saravanan ketika hendak beredar juga ditanya tujuan kehadirannya malam ini.

"Kami serahkan kepada presiden BN (untuk mengumumkan)

"Kami hanya bersiap sedia untuk esok," katanya.


9.40 malam: Setiausaha politik Azmin Ali, Hilman Idham dilihat masuk ke bangunan yang menempatkan ibu pejabat Bersatu.

Hilman, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, kelihatan cuba mengelak bercakap dengan media ketika berjalan masuk.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang kehadirannya di situ, dia hanya berkata dia hadir "untuk mesyuarat".


9.30 malam: Pemimpin tertinggi BN dan PAS mengadakan pertemuan di Riverside Cafe, PWTC.

Antara pemimpin Umno yang dilihat hadir ialah presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, naib presiden Ismail Sabri, bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri Mahdzir Khalid, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung Takiyuddin Hassan juga turut kelihatan.

Tajuddin menolak untuk menjawab soalan pemberita apabila ditanya berhubung pertemuan malam ini.

Media tidak dibenarkan masuk ke dalam restoran yang menjadi tempat pertemuan itu diadakan. Pengawal peribadi dan anggota keselamatan dilihat menjaga pintu masuk.


9.10 malam: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menafikan beliau keluar Bersatu.

Ketika diajukan pemberita berhubung spekulasi itu, Maszlee berkata: "Saya mahu masuk pejabat Bersatu sekarang, kenapa saya mahu keluar? Bila saya keluar?" katanya sambil tersenyum.


8.30 malam - Sekumpulan kira-kira 30 belia di luar ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya menjeritkan slogan "Hidup Tun" merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad, ketika satu-satu pemimpin Bersatu tiba untuk menghadiri mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu hari ini tidak kelihatan.

Kumpulan itu turut bersorak apabila Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba.

Antara pemimpin Bersatu yang kelihatan ialah Muhyiddin Yassin, Redzuan Yusof, Syed Saddiq Abdul Rahman, Rina Harun, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Rais Yatim, Wan Saiful Wan Jan, Rafiq Naizamohideen, Mukhriz Mahathir, Mustapa Mohamed, Azizah Mohd Dun, dan Shahbudin Yahaya.

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa pemimpin parti Pakatan Harapan - Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu - sedang bermesyuarat di lokasi yang tidak didedahkan.

Terdahulu, mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan yang dijadualkan pada petang ini telah ditangguhkan sehingga esok. Masa dan tempat baru untuk mesyuarat itu belum diumumkan.

Turut difahamkan bahawa penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkumpul di sebuah hotel di Kuala Lumpur.


7:30 petang: Jurucakap Gerakan memaklumkan media bahawa Presiden Gerakan Dominic Lau akan keluar dalam masa 10 minit, tetapi tidak ingin mengemukakan sebarang kenyataan.

Jurucakap tersebut turut berkata bahawa, Lau mempunyai hal kecemasan yang menyebabkan mesyuarat tersebut terpaksa ditangguh buat seketika.

Bagaimanapun, sehingga pukul 8:00 malam, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Gerakan.


7.25 petang: Pulau Pinang komited kepada Pakatan Harapan dan akan terus mentadbir kerajaan negeri secara bertanggungjawab seperti yang diputuskan oleh rakyat, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Dalam satu kenyataan ringkas petang ini, Chow berkata, mandat rakyat adalah "suci dan mesti dihormati" oleh semua.

"Kerajaan Pulau Pinang terus menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri di bawah Pakatan Harapan," kata Chow.


7.15 petang: Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa Seri Paduka juga berkenan menerima perletakan perdana menteri tetapi memutuskan bahawa Dr Mahathir harus terus menerajui negara sehingga kerajaan baru dibentuk.

Terdahulu, Mahathir mengadap Seri Paduka di Istana Negara di Kuala Lumpur.


6.55 petang: Kesemua 42 ahli parlimen DAP menandatangani akuan berkanun (SD) menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Menurut satu sumber, mereka menandatangani SD itu secara individu untuk memuktamadkan keputusan yang telah dipersetujui sebelumnya.


6.40 petang: Dr Mahathir Mohamad tiba kediamannya di Seri Kembangan, Selangor.

Beliau yang menaiki kereta Perdana berwarna hitam diiringi beberapa kereta polis sempat melambai kepada pemberita sebelum melepasi pintu masuk rumahnya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir kelihatan sugul ketika disapa pemberita.


6.18 petang: Selepas kira-kira sejam setengah mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Dr Mahathir Mohamad meninggalkan istana melalui Pintu 1.

Beliau dilihat melambai tangan dan tersenyum kepada media.


6.00 petang: Bank Negara Malaysia memastikan pihak mereka akan memantau pasaran kewangan dengan cermat susulan perkembangan politik baru-baru ini.

"Memandangkan perkembangan baru-baru ini yang sedang berlaku, kami sedang memantau keadaan pasaran kewangan. Pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran, operasi pasaran BNM akan memastikan kecairan yang mencukupi dan keadaan pasaran kewangan yang teratur," katanya.


5.30 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim meninggalkan ibu pejabat partinya.

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau akan menghadiri mesyuarat PH, namun tidak mendedahkan lokasi mesyuarat itu akan diadakan.


5.20 petang: Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa beliau tidak menandatangani sebarang akuan berkanun.

Ini kerana beliau kini berada di luar negara.

Malaysiakini difahamkan beliau telah ke luar negara sejak pertengahan Februari.

Sebelum ini, Nazri berkata bahawa beliau hanya akan menyokong sebarang usaha untuk membentuk kerajaan dengan Bersatu jika ia merupakan keputusan parti.

Beliau juga berkata, secara peribadi, beliau menyokong Anwar atas dasar persahabatan dan kerana beliau adalah "ahli politik yang luar biasa."


5.07 petang: Seorang ahli parlimen DAP menganggap Azmin Ali mengutamakan cita-cita politiknya mengatasi kepentingan rakyat serta negara.

"Ketika ini kita berdepan dengan cabaran getir ekonomi, langkahnya merosakkan pakej rangsangan ekonomi," kata Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, di Twitter.


5.04 petang: Peguam Negara, Tommy Thomas, yang asalnya dijangka membuat kenyataan berhubung keadaan semasa politik negara, tidak akan berbuat demikian.

Menurut beliau ketika ini keadaan terlalu tidak menentu.

"Tambahan pula tiadanya maklumat jelas, justeru kenyataan media itu akan ditangguhkan buat sementara waktu," katanya.


4:46 petang: Selepas memberikan kenyataan kepada media, Presiden Gerakan, Dominic Lau memulakan mesyuarat tergemparnya bersama-sama dengan ahli-ahli tertinggi parti di ibu pejabat parti itu.


4.45 petang: Dr Mahathir Mohamad tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan petang ini berlangsung selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri.

Beliau turut melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Bersatu tidak lama selepas presiden parti tersebut, Muhyiddin Yassin, mengumumkan langkah mereka keluar dari PH.


4.40 petang: Bekas pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan, berharap Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri dan membawa PH mentadbir negara ini.

Katanya, pada 9 Mei 2018 rakyat negara ini memberikan mandat kepada PH yang diketuai Mahathir untuk menjadi kerajaan.

Sehingga kini, katanya, mandat itu tidak pernah berubah.

"Dalam keadaan sekarang Mahathir mendapat keyakinan majoriti anggota Dewan Rakyat.

"Amanah dan DAP juga sudah menyatakan sokongan mereka kepada Mahathir. Justeru saya mendesak Tun menggalas semula kuasa yang diamanahkan oleh rakyat dan membawa PH ke suasana lebih tenang," katanya.

Menurut Ambiga lagi, dengan apa yang berlaku sehari dua ini, diharap pimpinan Mahathir dapat membawa rakyat menjadi lebih kuat dan bersatu untuk melaksanakan mandat yang diberikan.

"Rakyat dan negara perlu sentiasa diutamakan," katanya.


4.35 petang: Petugas media yang 'bermukim' di depan Istana Negara - sesetengahnya seawal jam 8 pagi tadi - menerima kejutan petang ini.

Sebentar tadi pegawai Istana Negara datang bersama dia beg berisi ayam goreng KFC.

Bagaimanapun kebanyakan petugas media - yang belum makan tengah hari - terpaksa bertahan untuk sementara kerana menunggu ketibaan Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu dalam perjalan dari rumahnya di Seri Kembangan.


4.30 petang: Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa, sebentar tadi mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari PAS. Turut menyertai pertemuan tersebut ialah pemimpin kedua-dua parti.

Kata Annuar mereka bersetuju untuk mengambil keputusan bersama sambil menjunjung Muafakat Nasional dan semangat BN.

"Perjuangan syiar Islam, agenda Melayu dan bumiputera, keadilan demi pelbagai kaum keutamaan kami," ciapnya di Twitter.

Untuk rekod, dengan keluarnya Bersatu daripada PH, gabungan itu tidak lagi memiliki majoriti di Dewan Rakyat. Pada masa sama gabungan BN dan Muafakat Nasional juga belum dapat disahkan memiliki penguasaan mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Pemerhati berpendapat, Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbuka untuk bekerjasama dengan BN namun bermasalah menerima PAS.


4.30 petang: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menyatakan PH akan bertemu untuk mesyuarat tergempar malam ini.

Beliau memberitahu hal itu semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod PH kini mempunyai tiga parti saja selepas Bersatu mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut sebentar tadi.


4.25 petang: Dr Mahathir Mohamad meninggalkan kediamannya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Beliau kelihatan sugul ketika kenderaannya lalu di depan kumpulan media yang menunggu di luar rumah tersebut.


3.40 petang: Anwar Ibrahim tiba semula ke Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ditemui media mengenai peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad, presiden PKR itu berkata, beliau ada bersama perdana menteri semasa keputusan tersebut diambil.

Bagaimanapun, kata Anwar, beliau tidak dapat berkongsi maklumat tersebut lebih awal dengan media kerana ia belum diumumkan secara rasmi.

Katanya beliau cuba memujuk Mahathir agar menukar fikiran tetapi ahli parlimen Langkawi itu berkata, beliau kecewa kerana dikaitkan dengan pihak "yang korup".

"Saya ada merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan PH.

"Pengkhianatan ini boleh ditangani bersama, tetapi sudah tentu beliau ada pandangan yang berbeza.

"Beliau berpendapat tidak wajar untuk beliau dilayan begitu, dikiatkan untuk bekerja dengan perasuah," katanya.

Anwar juga berpandangan, Mahathir tidak terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan PH.

"Tidak, saya tak fikir beliau (terlibat). Namanya digunakan oleh orang dalam daln luar parti dan beliau menyatakannya sekali lagi seperti sebelum ini, beliau tak ada peranan.

"Beliau sangat jelas (pendiriannya), tidak mungkin untuk beliau bekerjasama dengan sesiapa yang ada kaitan dengan rejim lalu," katanya.


3.32 petang: Ditanya mengenai kemungkinan berlaku 'permainan angka' untuk membentuk kerajaan baru selepas ini, Anwar Ibrahim menafikannya.

"Tidak, tapi kita akan lihat apa yang akan berlaku," katanya.

Ditanya bagaimana keadaan selepas Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri, Anwar juga enggan membuat sebarang spekulasi.

"Beliau baru saja menyerahkan surat peletakan jawatan (dan selepas ini) akan mengadap Agong.

"Selepas itu kita akan teruskan," katanya.

Beliau juga tidak memberikan jawaban konkrit ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau akan menjadi perdana menteri seperti yang dipersetuji Majlis Presiden PH.

"Kita tunggu nanti," katanya.


3.30 petang: Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu malam ini.

Dua anggota MPT mengesahkan hal itu semasa dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Keputusan itu dibuat sejurus selepas Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatan perdana menteri dan pengerusi Bersatu.

Peletakan jawatan Mahathir diumum hanya beberapa ketika selepas presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyatakan langkah parti itu keluar dari PH.


3.20 petang: Sekurang-kurangnya dua menteri dari Amanah membuat kenyataan selamat tinggal melalui media sosial.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, meminta maaf kepada semua petani, penternak dan nelayan berikutan khidmat yang diberikannya selama kira-kira 20 bulan lalu.

"Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan baru nanti.

"Saya telah menghabiskan sepanjang hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan. 

"Sekiranya saya masih gagal, saya sekali lagi memohon sepenuhnya kemaafan anda semua," katanya.

Pengarah Strategi Amanah yang juga Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefli Ahmad, pula mengemas kini status wabak Covid-19.

"Alhamdulillah! dua lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan didiscaj hari ini. Tiada kes positif baru. Palms up together.

"Kes ke-14 dan ke-19 sebelum ini dirawat di HKL.

"(Ini) tweet saya yang terakhir Sebagai menteri kesihatan. Terima kasih!" ciapnya.


3.15 petang: Anwar Ibrahim dan Wan Azizah dilihat keluar dari pintu dua istana negara selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 40 minit.

Sementara itu beberapa individu dipercayai penyokong Anwar menaikkan sepanduk semasa rombongan terbabit melintas di depan mereka.

Pada baju mereka tertera perkataan Otai Reformis. 


3 petang: Mesyuarat Adun dan ahli parlimen DAP berakhir dan kini anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu pula bertemu.

Menurut dua pemimpin DAP peringkat negeri yang ditemui, parti itu akan mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sekali lagi sebagai perdana menteri jika PH berjaya memperoleh majoriti mudah di parlimen.

Jumlah yang diperlukan untuk itu ialah 112 kerusi.

"Kami yakin kepada Mahathir, beliau juga kecewa dengan Bersatu dan sudah berjanji untuk tidak mahu bekerjasama dengan Umno.

"Jika kami mencalonkan Anwar sebagai perdana menteri, ini akan membuat Mahathir seperti pemimpin yang membawa Bersatu dan PKR keluar dari PH," katanya.


3 petang: Selepas berundur daripada jawatan perdana menteri, Dr Mahathir petang ini mengumumkan beliau turut meletak jawatan sebagai pengerusi Bersatu.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya petang ini, notis peletakan jawatan tersebut sudah dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu.


2.44 petang: Azmin Ali, Zuraida, Zuraida Kamarudin, Baru Bian, Kamarudin Jaffar serta beberapa timbalan menteri tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan.

Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya, pula tiba lebih awal iaitu pada jam 2.09 petang.


2.35 petang: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata Amanah akan tetap bersama dengan PH.

"Amanah tidak akan menyokong Zahid," katanya kepada Malaysiakini, merujuk kepada presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi.


2.30 petang: ANALISIS RINGKAS - Dengan pengunduran 25 ahli parlimen Bersatu dan 11 dari PKR, PH tidak lagi memiliki jumlah yang mencukupi bagi membentuk kerajaan.

Apakah yang akan berlaku?

Yang di-Pertuan Agong akan membuat keputusan jika ada mana-mana parti mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, atau membubarkan parlimen bagi membuka jalan kepada pilihan raya umum.

Ketika hal ini ditulis, Agong dipercayai sedang mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang sepatutnya diberi peluang untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan mencukupi bagi membentuk kerajaan.


2.30 petang: Anwar Ibrahim memasuki Istana Negara melalui Pintu 2. Ia kemudian diikuti Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak lama kemudian. 


2.30 petang: Sejumlah ahli parlimen PKR - diketuai Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin - mengumumkan mereka keluar dari parti dan PH.

Dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Azmin, kumpulan itu memberitahu mereka akan membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Selain Azmin dan Zuraida, turut mengambil tindakan sama ialah Saifuddin Abdullah (MP Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).


2.18 petang: Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, menghantar surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri Malaysia hari ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya, Mahathir menghantar surat peletakan jawatan tersebut ke Istana Negara kira-kira jam 1 petang tadi.


2.16 petang: Dengan pengunduran Dr Mahathir Mohamad, ada tiga kemungkinan yang menanti untuk Malaysia, kata seorang peguam.

Bercakap kepada Malaysiakini, New Sin Yew berkata, Mahathir boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

"Jika tidak, melalui kesepakatan bersama, parti yang memiliki majoriti di Dewan Rakyat berpeluang membentuk kerajaan.

"Jika mereka gagal menubuhkan kerajaan, saya rasa Agong boleh menggunakan budi bicaranya untuk membubarkan parlimen," katanya.


2.15 petang: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, meninggalkan ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, dipercayai menuju Istana Negara.

Mereka bergerak ke sana dengan dua kereta berbeza.

Anwar bagaimanapun enggan memberi kenyataan ketika ditanya siapa yang akan menjadi perdana menteri kelapan Malaysia ekoran peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

Ditanya mengenai status PH, ahli parlimen Port Dickson itu menjawab: "Bersatu sudah mengumumkan mereka keluar dari PH," katanya.

Wan Azizah pula tidak bercakap kepada media.


2 petang: Sah, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, dan Zuraida Kamaruddin (Ampang) dipecat daripada PKR.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, yang memberitahu, pemecatan tersebut berkuat kuasa serta-merta. 


1.50 petang: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memuat naik satu hantaran yang menimbulkan persoalan di Twitternya.

Ciapan itu dibuat di tengah-tengah perkembangan politik tanah air yang mencemaskan banyak pihak.

“Rakyat wajib diutamakan, bukan politik perebutan kuasa. Rakyat yang berkuasa, bukan si pencatur kuasa,” ciapnya.

 

Ini juga hadir ketika tersebar spekulasi bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah menghantar surat peletakan jawatannya ke Istana Negara.

Malaysiakini masih cuba mengesahkan dakwaan tersebut. 


1.36 petang: Dua pemimpin kanan PKR dikatakan akan dipecat dari parti itu.

Menurut beberapa sumber, keputusan tersebut sudah dipersetujui dan kini hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi.


1.30 petang: Seorang sumber memberitahu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, menghadap Sultan Selangor hari ini.

Sumber yang condong kepada kem Anwar Ibrahim itu berkata, Amirudin memaklumkan hal tersebut semasa bertemu dengan Adun PKR di rumahnya pagi tadi.

Katanya, Amirudin juga memberitahu Selangor "akan mempertahankan mandat yang diberikan rakyat" dalam PRU lalu.

"Menteri Besar Selangor memberi taklimat kepada tuanku.

"Esok beliau akan berjumpa tuanku sekali lagi bersama semua ketua parti dalam PH," katanya.


1.10 petang: Majlis Perundingan Buddha, Kristian Hindu Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) merayu agar Yang Di-Pertuan Agong dapat menggunakan budi bicara baginda untuk menitahkan agar parlimen dibubarkan.

“MCCBCHST merayu kepada Duli Yang Maha Mulia Yang-dipertuan Agong untuk menggunakan kuasa budi bicara baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan pembubaran Parlimen dan pelaksanaan pilihan raya semula.

“[...] Kita sebagai rakyat Malaysia, marilah kita berdoa untuk perpaduan dan kestabilan Malaysia,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.

Jelas persatuan itu, mandat rakyat yang memilih pemerintah mereka dalam pilihan raya umum (PRU) lalu haruslah dihormati.

“Lebih-lebih lagi, banyak pemimpin dalam Pakatan Nasional yang disebut-sebut itu berdepan pendakwaan atau penyiasatan kes rasuah, jadi tujuan perikatan itu mungkin hanya untuk melindungi kepentingan peribadi dan untuk mengkhianati mandat rakyat,” kata kenyataan itu lagi. 


12.55 tengah hari: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memanggil semua Adun PKR di negeri itu ke kediaman rasminya pagi tadi, kata satu sumber.

Sebelum itu dikatakan Amirudin memanggil semua Adun.

Ditanya jika kerajaan negeri yang ada akan bertahan, sumber itu - yang memihak kepada kem Azmin Ali - berkata: Tidak ada apa-apa perubahan.

Tidak dapat dipastikan jika Adun PKR yang menyokong Anwar terbabit dalam pertemuan tersebut kerana pertanyaan yang dihantar Malaysiakini tidak berjawab setakat ini.

Sementara itu Amanah Selangor juga difahamkan akan mengadakan mesyuarat dalamannya hari ini.


12.45 tengah hari: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, tiba di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya bersama isteri beliau, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Anwar, beliau baru saja tiba dari rumah Dr Mahathir Mohamad dan pertemuan itu berlangsung dengan "sangat baik".

"Kami ada bincang beberapa perkara dan saya berpuas hati dengan pendirian beliau, bahawa kita harus mengutamakan prinsip.

"Agenda reformasi harus diteruskan, itu yang saya boleh sebut setakat ini," katanya kepada media.

Ditanya kemungkinan berlaku perubahan kerajaan, Anwar tidak menjawab soalan itu secara langsung.

Sebaliknya ahli parlimen Port Dickson itu memberitahu agar kerajaan tidak mudah tunduk kepada kehendak kumpulan tertentu.

"Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam pilihan raya yg lalu.

"Saya tak boleh sebut apa (yang lain), memadai kita jelaskan setakat itu, ia adalah mesyuarat yang sangat baik," katanya.

Anwar juga menjelaskan beliau "terkesan" dengan sikap Mahathir mengenai perubahan dan keengganan tunduk kepada pihak yang mahu "merampas kuasa" tanpa menetapkan agenda perubahan.



12:20 tengah hari: Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran, tiba di Ibu Pejabat DAP, sejurus selepas dibebaskan atas tuduhan terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Saya sangat gembira, saya mahu ucapkan beribu-ribu terima kasih," katanya kepada media.

Anak Gunasekaran, Nancy, berkata keluarganya meninggalkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

"Kami terus datang ke sini selepas itu," katanya.


12.10 tengah hari: Indeks KLCI Bursa Malaysia menurun 35.74 mata kepada 1495.46 ketika pasaran dalam keadaan tidak menentu.

Nilai ringgit Malaysia juga melemah berbanding dolar AS, menjadi RM4.2215 setakat ini.

Mengulas prestasi Bursa Malaysia, bekas PM, Najib Razak berkata, sama ada PH kekal, tumbang atau parlimen dibubarkan, kestabilan mesti dikembalikan secepat mungkin.


12.05 tengah hari: Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, tiba di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Ditanya apa yang akan dibincangkan oleh kepemimpinan PKR dalam mesyuarat tergempar parti itu sebentar lagi, beliau enggan mengulas.

"I have a good feeling," katanya.

Beberapa minit kemudian, Ahli Parlimen Permatang Pauh yang juga anak presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, juga tiba.


12 tengah hari: Adun Pasir Pinji merangkap salah seorang exco Perak, Howard Lee, yang tiba di Ibu Pejabat DAP berkata, semuanya berjalan seperti biasa di negeri terbabit.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok, memberitahu Malaysiakini, beliau tidak dapat hadir ke mesyuarat berkenaan kerana sedang berada di Sabah.


11.40 pagi: Difahamkan Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu sudah tiba di kediaman Dr Mahathir Mohamad di Seri Kembangan, Selangor hampir sejam lalu.

Astro Awani melaporkan, ketiga-tiga ahli parlimen itu sedang bertemu dengan Mahathir.


11:30 pagi: Difahamkan DAP mengarahkan semua wakil rakyat dan senatornya untuk hadir ke mesyuarat parti itu di Kuala Lumpur.

Hal itu selaras dengan ketibaan ramai pemimpin DAP setakat ini. Antaranya Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham; Soon Lip Chee (Adun Bagan Jermal) dan A Sivanesan (Sungkai).


11 pagi: Veteran DAP, Lim Kit Siang, tiba di ibu pejabat parti itu di Pudu.

"Kami ada mesyuarat lepas ni," katanya semasa ditemui media di pintu masuk bangunan tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu enggan menjawab soalan lain yang dikemukakan wartawan.

Sebelum Lim, kelihatan tiba lebih awal ialah Ketua Wanita DAP, Chong Eng; Adun Teratai, Lai Wai Chong; dan Adun Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.


10.45 pagi: Presiden Gerakan, Dominic Lau, mengesahkan kepada Malaysiakini, parti itu akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa pusat di Kuala Lumpur pada jam 4 petang ini.

Katanya, salah satu agenda yang akan dibincangkan ialah kemungkinan penyertaan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, serta penyokongnya, ke dalam Gerakan.

"Itu antara agendanya, tapi yang utama akan dibincangkan ialah situasi politik, kedudukan Gerakan, strategi dan tindak balas.

"Kami akan bincangkan mengenai peranan Gerakan apabila ada perubahan kerajaan," katanya.

Lau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Azmin dan pengikutnya ada atau tidak memohon menyertai Gerakan.

Beliau juga tidak mengulas apabila ditanya kemungkinan Azmin akan hadir pada mesyuarat tersebut.


10.49 pagi: Pusat Pembanterasan Rasuah dan Kronisme (C4) akan menyertai sidang media bersama Bersih pada petang ini.

Pengarah Eksekutif C4, Cynthia Gabriel, berkata sidang media itu akan diadakan sejurus selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, bertemu Yang di-Pertuan Agong.


10.50 pagi: Malaysiakini difahamkan oleh sumber, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, tiada di pejabat ketika Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Lim Guan Eng tiba.

Difahamkan ketiga-tiga mereka kemudian bersama-sama menuju ke rumah Mahathir di Seri Kembangan.


10.25 pagi: Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng meninggalkan Perdana Putra. Kedua-dua mereka tidak memberhentikan kenderaan masing-masing untuk bercakap kepada media.

Hanya beberapa minit sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dilihat meninggalkan bangunan menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu.

Kenderaannya diperlahankan sedikit dan beliau melambai ke arah wartawan yang menunggu.


10.20 pagi: Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan tidak akan menghadiri sebarang majlis rasmi kementeriannya hari ini.

Hal itu disahkan seorang pembantunya.

Kata sumber tersebut, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hasnol Zam Zam Ahmad, akan mewakili Saifuddin.


10 pagi: Kira-kira dua jam sebelum mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berlangsung, kelihatan salah seorang pemimpin kanan parti itu tiba di bangunan ibu pejabat parti terbabit di Pudu, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, enggan memberi sekarang kenyataan.

"Saya tak tahu," katanya apabila ditanya media sama ada beliau hadir untuk menghadiri mesyuarat berkenaan atau sebaliknya.

Menurut setiausaha politik menteri kewangan itu, beliau datang untuk menyelesaikan "hal-hal lain".

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, dilihat tiba di situ kira-kira jam 9pagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS