Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hotel TH: Orang sebut sampai masuk kubur, dakwa ulama PAS
Diterbitkan:  Feb 21, 2020 8:10 PM
Dikemaskini: 12:10 PM

Seorang ulama PAS menggambarkan pemindahan hak milik empat hotel Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai suatu 'pengkhianatan besar' dan jahat terhadap umat Islam di negara ini.

Menganggapnya "tidak logik", Ahmad Dusuki Abd Rani berkata, perbuatan tersebut - dakwanya - akan dikenang-kenang orang sehingga ke liang lahad.

“Ni tengok bagaimana jahatnya yang dilakukan ini. Yang tanggung ini, kamu kena tanggung sampai di akhirat Allah SWT. Jangan main-main... harta orang Islam kan ni?

“[...] Yang ni, kalau orang sebut, sampai masuk dalam kubur orang sebut. Orang sebut sampai masuk dalam kubur,” katanya dalam satu rakaman ceramah yang disiarkan di saluran YouTubenya.

Bagaimanapun bekas timbalan ketua Ulama PAS Selangor itu tidak menyebut sebarang nama, namun dipercayai ditujukan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof, yang bertanggungjawab ke atas TH.

Ahmad Dusuki juga dipercayai merujuk kepada pemindahan milik empat hotel TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu. 

Sebelum itu, tular makluman yang dikatakan notis dalaman TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) yang mendakwa empat hotel itu dihentikan operasi, yang kemudian mengundang kebimbangan pengkritik, terutama pembangkang.

Cerita hujung hidup Ataturk

Bagaimanapun, menurut TH, tiada kakitangan hotel itu akan diberhentikan kerja ekoran pemindahan hak milik itu malah hampir semua akan dikekalkan.

Sepuluh peratus lagi pekerja hotel terbabit akan diserap ke hotel TH di Kelana Jaya, Petaling Jaya.

Dengan pemindahan milik itu juga, hotel-hotel berkenaan akan dikenali dengan nama baru Raia Hotel dan kekal dengan dengan konsep patuh syariah.

Untuk rekod UJSB ialah sebuah syarikat milik kerajaan.

Sebelum mengulas tentang “penjualan” hotel tersebut, Ahmad Dusuki turut mengingatkan pendengar ceramahnya agar tidak menjadi jahat.

Dia yang banyak memberikan ceramah mengenai hal-hal kematian mengambil contoh “kejahatan” presiden pertama Turki, Mustafa Kemal Ataturk.

Dakwa Ahmad Dusuki, Mustafa Kemal melarang azan dikumandangkan di Turki, menghalang bacaan ayat al-Quran dalam bahasa Arab ketika solat, dan "tidak diterima bumi" sesudah kematiannya.

Pada Mac 2018 Ahmad Dusuki mengimamkan solat hajat untuk mendoakan kejayaan PAS di Selangor, iaitu satu daripada negeri yang diyakini parti terbabit dapat mereka tawan dalam PRU ke-14 kira-kira dua bulan kemudian.

Dalam doanya Ahmad Dusuki juga menyamakan pertempuran antara PAS dan parti lain pada pilihan PRU ke-13 itu seperti Perang Ahzab.

Sebelum PRU berkenaan, PAS mempunyai 12 kerusi di DUN Selangor. Bagaimanapun selepas 9 Mei 2018, hanya ada seorang Adun tunggal parti itu dalam DUN terbabit.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai isu TH, Ahmad Dusuki juga menjelaskan bagaimana 'sepatutnya' isu kerugian hotel berkenaan ditangani.

Bekas calon PAS untuk DUN Kota Anggerik itu memberitahu, sepatutnya pihak berkenaan memikirkan jalan untuk menguatkan ekonomi orang Islam, bukannya menjual aset TH.

Boleh berakhir dengan penswastaan

“[...] terbayang-bayang, mengapalah ada orang yang berfikir macam tu. Mengapalah ada orang yang boleh ambil tindakan sebegitu rupa.

“[...] Jalan mudah, jual, jual, jual semuanya yang ada tersebut. Mudah kita nak buat demikian.

“Lepas tu nak isytihar untung. Untung, kerana apa dia? Kerana kamu jual. Memanglah untung, tapi sekejap sajalah.

“Sekejap sajalah yang kita dapat tersebut (keuntungan), tapi kesan jangka yang panjang apa dia? Habis milik harta orang Islam,” katanya lagi.

Khairuddin Aman Razali

Ahmad Dusuki berkata, sepatutnya keuntungan diperoleh syarikat lain TH digunakan untuk menampung kerugian ditanggung hotel-hotel terbabit.

"Bukannya semua syarikat kita jadi rugi hingga perlu kita jual bangunan tersebut... Ini sampai peringkat kita jual, dengan tanah, dengan semua kita jual.

"Aset orang Islam kan ni.... yang strategik pulak tu," katanya lagi.

Sementara itu Anggota Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, turut mengkritik pemindahan hak milik empat hotel berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sekiranya tujuan urusan itu adalah bagi mengurangkan komitmen kerajaan, maka ia akan berakhir dengan penswastaan, namun pada masa sama tiada jaminan empat hotel berkenaan tidak akan terlepas ke tangan bukan Islam.

“Jelas sekali empat buah hotel ini bukan lagi menjadi milik umat Islam yang menabung dengan TH.

“Hasil yang bermula dengan modal mereka dalam keadaan untung pun dipindahkan kepada pemilikan kerajaan yang tentunya mewakili Muslim dan bukan Muslim, sedangkan ia sepatutnya kekal menjadi milik Muslim kerana ia bermula dengan Muslim dan menjadi aset umat Islam dalam keadaan ia masih untung,” katanya yang juga ketua penerangan Dewan Ulama Pusat PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS