Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zuraida dah setuju 25 Feb pendengaran disiplin PKR - Pembantu
Diterbitkan:  Feb 13, 2020 9:11 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin telah pun bersetuju secara lisan untuk hadir pendengaran lembaga disiplin parti yang akan diadakan pada 25 Feb.

Lantaran itu, setiausaha politik Zuraida, Nor Hizwan Ahmad berkata tidak timbul soal kata dua yang diberikan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kasim yang menolak surat permohonan daripada naib presiden parti itu untuk menangguhkan pendengaran terhadapnya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata bahawa lembaga disiplin bersetuju memberi tempoh hingga 20 Februari untuk Zuraida menghadiri pendengaran disiplin, selepas mengambil kira tugasnya selaku menteri perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT).

Menurut Nor Hizwan, naib presiden PKR itu "telahpun secara lisan menghubungi pegawai lembaga disiplin lebih awal dan memberi satu tarikh untuk kehadiran beliau bertemu dengan pihak lembaga disiplin."

"Dalam perbincangan tersebut, pegawai itu bersetuju dengan tarikh cadangan pada 25 Februari akan datang. Ia memandangkan bahawa Zuraida Kamaruddin telah pun memberi komitmen awal dalam program-program besar kerajaan persekutuan atas kapasiti beliau selaku Menteri kerajaan yang sentiasa amat pdat.

"Untuk membatalkan atau menunda kehadiran beliau dalam program-program rasmi kerajaan yang telah diatur awal, ia akan mengakibatkan implikasi besar dari sudut koordinasi antara agensi dan juga impak kewangan kepada Kementerian.

"Maka, saya ingin memaklumkan kepada pihak Lembaga Disiplin bahawa Zuraida Kamaruddin hanya dapat hadir dalam pertemuan bersama Lembaga Disiplin pda 25 Februari ini. Dengan penuh hormat, saya berharap agar tarikh tersebut dipersetujui untuk proses ini berjalan," katanya dalam suatu kenyataan.

Nor Hizwan juga membidas MP Tanjung Malim, Chang Lih Kang (gambar, atas) yang mengulas mengenai keputusan Zuraida untuk mengambil cuti daripada jawatannya sebagai naib presiden PKR sehingga pendengaran disiplinnya diselesaikan.

Chang yang juga naib presiden PKR  lantikan pemimpin tertinggi parti Anwar Ibrahim dilaporkan berkata sepanjang tempoh cuti beliau, Zuraida tidak boleh menggunakan kedudukannya dalam mana-mana program di peringkat cabang dan ranting PKR.

"Ibarat tak lebih dari sekadar pemain simpanan setelah serangan jagoan asal menumpul dan direhatkan, kenyataan Chang Lih Kang yang mengulas keputusan penerimaan cuti Zuraida Kamaruddin amat tidak matang dan penuh prasangka.

"Zuraida Kamaruddin jelas menyatakan hasrat bercuti daripada jawatan parti kerana ingin memberi laluan agar proses oleh Lembaga Disiplin terhadap beliau dapat berjalan bebas dan tanpa pengaruh sama sekali," katanya.

Hizwan turut mempertikaikan kenapa Lih Kang "diam seribu bahasa apabila dua lagi naib presiden PKR, Nurul Izzah dan Rafizi Ramlu lebih awal bercuti dengan senang-lenang meninggalkan tanggungjawab yang diamanahkan parti tanpa sebarang sebab munasabah."

Menurut Hizwan lagi, tidak perlu memberi amaran supaya Zuraida tidak menjalankan aktiviti atas kapasiti naip presiden parti sepanjang tempoh cuti itu.

"Komitmen beliau selaku naib presiden dipilih akan terus digerakkan ats dorongan semangat dan dokongan anggota parti," tegasnya.

Pada 18 Januari, Zuraida diberikan surat tunjuk sebab dan diberikan 14 hari untuk menjawab.

Surat itu menyentuh beberapa isu, termasuk ucapannya pada pada majlis makan malam 8 Disember lalu susulan dikatakan tidak puas hati pada Kongres Nasional PKR.

Dalam ucapannya, Zuraida mendakwa bahawa Anwar cuba meyakinkannya bahawa video seks yang didakwa memaparkan timbalan presiden Azmin Ali adalah tulen.

Dia juga mendakwa Anwar memberitahunya bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu memecat Azmin dari kedudukannya sebagai menteri hal ehwal ekonomi.

Ketika itu, ahli Parlimen Ampang tersebut berkata dia juga tidak takut dipecat daripada parti berhubung kenyataannya terhadap Anwar, Saifuddin dan beberapa pemimpin lain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS