Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zuraida: Tak ada masalah, saya boleh berkhidmat di mana saja

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, enggan mengulas mengenai spekulasi beliau akan meninggalkan PKR untuk menyertai parti lain.

Ditemui media malam ini, Zuraida sebaliknya berkata beliau tetap boleh memberikan khidmat "di mana" atau "sebagai apa" sekali pun.

“Kita lihat dulu... saya tak nak buat spekulasi atau sebagainya, (cuma) ia tidak jadi masalah.

“Saya boleh berkhidmat walau (sebagai) apa pun sahaja, bila-bila masa dan di mana saja saya berada. Ia tak masalah kepada saya,” katanya selepas menghadiri majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Putrajaya hari ini.

Sebanyak 156 anugerah diberikan kepada kakitangan dan juga 14 pesara kementerian itu bagi mengiktiraf sumbangan mereka.

Terdahulu ahli parlimen Ampang itu ditanya mengenai kemungkinan dikenakan tindakan disiplin oleh PKR serta khabar angin mendakwa beliau akan menyertai parti lain ekoran krisis dalaman yang dialami parti itu.

Sebelum ini pernah tular suatu imej memaparkan borang keahlian parti Bersatu yang tertera nama Zuraida, namun beliau menafikannya.


Baca 'Saya di landasan benar, tak terlintas masuk parti lain'


Sementara itu, ditanya mengenai suratnya memohon bercuti daripada tugas sebagai naib presiden PKR, Zuraida menjelaskan bahawa terdapat sebab mengapa beliau bertindak sedemikian.

Kata Zuraida, dia berbuat demikian kerana tidak mahu mempengaruhi keputusan Biro Politik PKR yang menyiasat aduan yang dikenakan ke atasnya.

Menurut Zuraida, mengikut prosedur, laporan lembaga disiplin akan dibentangkan dalam mesyuarat biro politik, sedangkan pada masa sama beliau adalah sebahagian daripada anggota biro berkenaan.

"Justeru, lebih profesional kalau saya ambil keputusan berehat.

“[..] Biar mereka buat keputusan, saya tak nak mempengaruhi keputusan biropolitik,” katanya.

Untuk rekod, mesyuarat Biro Politik PKR hari ini sudah meluluskan permohonan Zuraida.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, dipetik sebagai berkata, anggota biro berkenaan sebulat suara menerima permohonan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS