Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai kadet TLDM mati sebab paru-paru berair - Forensik

Mahkamah Koroner di Ipoh hari ini diberitahu kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) J Soosaimanicckam dua tahun lalu disebabkan paru-paru berair atau pulmonary oedema.

Ketua Unit Forensik, Hospital Seri Manjung, Dr S Saravanan berkata beliau mengenal pasti punca kematian itu selepas menjalankan bedah siasat ke atas mayat Soosaimanicckam pada 20 Mei iaitu sehari selepas pegawai kadet tersebut meninggal dunia.

Dr Saravanan yang merupakan saksi pertama bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui punca dan tempoh jangkitan tersebut.

"Saya tidak boleh sahkan berapa lama dia (Soosaimanicckam) ada simptom jangkitan dan saya diberitahu secara lisan oleh pegawai TLDM bahawa dia normal sebelum itu dan menyertai aktiviti pagi bersama-rakan-rakan," katanya semasa disoal peguam bela keluarga Soosaimanicckam, Mahajoth Singh.

Dr Saravanan yang merupakan saksi pertama menyambung memberi keterangan pada hari kelima prosiding inkues berhubung kematian Soosaimanicckam pada 1.45 tengah hari, 19 Mei 2018 di 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT), seminggu selepas menjalani latihan.

Kepada soalan Mahajoth mengapa bedah siasat hanya dijalankan sehari selepas kematian, Dr Saravanan menjelaskan beliau perlu menunggu borang Permintaan Pemeriksaan Mayat oleh polis terlebih dahulu.

"Kalau waris nak minta bedah siasat dijalankan ke atas mayat, mereka kena buat permohonan dengan pihak polis dan begitu juga kalau hendak disegerakan," katanya sambil menambah beliau hanya menerima borang tersebut pada 20 Mei.

Dr Saravanan juga memberitahu Mahkamah Koroner yang bersidang di hadapan Hakim Azman Abu Hassan bahawa berdasarkan ujian toksikologi, beliau tidak mengesan kehadiran alkohol atau penyalahgunaan dadah, sebaliknya hanya ubat tahan sakit.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS