Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Lapan individu warganegara China yang tiba di Johor Bahru, Johor dari Singapura semalam kini diletakkan di sebuah hotel dengan pemantauan dan kawalan rapi Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata kesemua mereka merupakan rakan seperjalanan seorang lelaki warganegara China berusia 66 tahun dari Wuhan yang tiba di Singapura pada 20 Jan lepas sebelum disahkan positif novel koronavirus import.

Menurut Dr Lee, kesemua lapan individu terbabit perlu diasingkan sekurang-kurangnya satu minggu bagi mengenal pasti sekiranya mempunyai simptom koronavirus.

"Mereka bukan pesakit tetapi mereka dipantau untuk dikuarantin bagi melihat sama ada terdapat simptom atau tidak kerana mereka ada hubungan dengan pesakit yang positif koronavirus. Tetapi buat masa ini, mereka tidak ada (simptom),” katanya kepada pemberita selepas meninjau ketibaaan penerbangan dari Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata pihaknya akan mempertingkatkan penggunaan mesin pengimbas suhu badan bagi mengesan virus koronavirus di semua kawasan lapangan terbang dan pintu masuk negara.

"Kita akan mempertingkatkan peralatan untuk buat saringan suhu badan di semua lapangan terbang dan pintu masuk," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS