story images
story images
mk-logo
Berita
Pasangan diraja Britain umum hadiah sejagat 'baiki bumi'
Diterbitkan:  Jan 1, 2020 9:48 PM
â‹…
Dikemaskini: 2:08 PM

GLOBAL | Putera William dan Kate Middleton mengumumkan hadiah sejagat untuk menangani masalah perubahan iklim memberikan komitmen "satu dekad bertindak untuk membaiki bumi."

BBC melaporkan lima pemenang akan menerima Hadiah Earthshot antara 2021 dan 2030.

Hadiah diberikan kepada individu atau organisasi dari seluruh dunia yang berjaya menyelesaikan masalah alam sekitar.

Putera William dipetik berkata dunia menghadapi pilihan sama ada untuk terus merosakkan bumi "tanpa memperbaikinya" atau mengingatkan keupayaan berterusan serta kuasa unik manusia "untuk memimpin, berinovasi dan menyelesaikan masalah."

Ia kenyataan terbaru yang dibuat putera Britain itu mengenai masalah alam sekitar.

Pada bulan Oktober tahun lalu, ketika pasangan diraja itu melawat glasier yang cair di Pakistan, William menyeru lebih banyak pendidikan dan tindakan politik untuk menangani perubahan iklim.

Pengumuman itu dibuat dalam video dengan suara latar penyiar ternama dan pengkaji alam semula jadi, Sir David Attenborough pada hantaran di media sosial.

David berkata, hadiah itu akan dianugerahkan kepada "mereka yang mempunyai wawasan pada sepanjang dekad akan datang kerana menanggapi cabaran paling besar zaman ini."

Hadiah itu akan dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, lapor BBC.

Tahun 2020 juga akan menyaksikan berlangsungnya Konvensyen mengenai Biodiversiti di China pada bulan Februari dan Persidangan Perubahan Iklim COP26 di Glasgow pada bulan November.

Hadiah itu diberi nama Earthshot kerana mendapat ilham daripada wawasan bekas presiden Amerika Syarikat, John F Kennedy, "Moonshot" - apabila beliau menetapkan matlamat pada tahun 1961 untuk mendaratkan angkasawan AS ke bulan sebelum penghujung dekad itu.

Pada 20 Julai 1969, pesawat angkasa Apollo 11 berjaya mendaratkan angkasawan AS, Neil Armstrong, Edwin 'Buzz' Aldrin dan Michael Collins menjadikan mereka manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS