Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tindakan tegas kedai makan beroperasi di tempat banjir - KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati masih menjalankan operasi walaupun premis perniagaan mereka dinaiki air.

Ketua Pengarah KKM Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata premis berkenaan boleh dikenakan tindakan penutupan premis dan kompaun di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“KKM mengambil maklum isu premis makanan yang masih beroperasi walaupun dinaiki air banjir di negeri Kelantan, dan laporan akhbar Harian Metro bertarikh 21 Dis 2019 bertajuk ‘Mi Celup Banjir’ adalah dirujuk.

“KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) memandang serius isu kebersihan dan keselamatan makanan di premis makanan, termasuk yang masih beroperasi semasa banjir. Ini kerana air banjir adalah kotor, dan mengandungi pelbagai jenis bakteria yang berisiko mencemari makanan,” katanya.

Sabtu lepas, media melaporkan beberapa premis makanan di Pekan Rantau Panjang, Kelantan masih beroperasi walaupun premis mereka digenangi air, namun ia masih dipenuhi pengunjung yang bersantai dengan berjalan kaki meredah banjir.

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dalam memilih premis makanan ketika musim banjir selain mengelak pengambilan makanan mentah seperti ulam-ulaman serta makanan yang terdedah.

“Jaga kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir. Minum air dan ambil makanan yang dimasak sahaja, jaga kebersihan diri dan amalkan membasuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala keracunan makanan seperti cirit-birit dan muntah,” kata Noor Hisham.

Maklumat lanjut berhubung isu kebersihan dan keselamatan makanan semasa banjir, boleh diperolehi daripada Pejabat Kesihatan Daerah/ Kawasan/ Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat serta laman sesawang di sini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS