Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Mahathir terbuka cadangan mata wang kripto negara Islam

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau terbuka dengan cadangan mata wang kripto khusus untuk negara-negara Islam.

Sebagai hakikatnya, Dr Mahathir berkata, Malaysia telah sejak lama mencetuskan idea mata wang bersama untuk negara-negara Islam tetapi kuasa-kuasa besar menjadi penghalang kepada cadangan tersebut.

“Ini kerana apabila mata wang mereka (negara kuasa besar), digunakan oleh orang lain, ia memberi kekuatan tambahan kepada mereka,” katanya kepada media ketika meninggalkan sesi perbincangan meja bulat bertema Keutamaan Pembangunan dan Cabaran’ sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019, di ibu negara, hari ini.

Dr Mahathir, Presiden Turki, Recep Tayipp Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani mengambil bahagian pada sesi perbincangan tersebut dengan timbalan pengerusi sidang kemuncak itu, Ahmad Sarji Abd Hamid, bertindak sebagai moderator.

“Ini adalah kali pertama kita mendengar Iran dan Turki berpendapat jika kita tidak mempunyai dolar Amerika, kita boleh menggunakan mata wang kita sendiri atau satu mata wang bersama boleh kita (negara-negara Islam) wujudkan jika kita bersetuju,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta reaksinya terhadap cadangan Rouhani untuk memiliki mata wang kripto khusus untuk negara-negara Islam pada sesi meja bulat itu.

Dalam perkembangan lain, p erdana menteri berkata Malaysia bersedia berkerjasama dengan Iran dan Turki dalam bidang teknologi berikutan​​​​​​​ kedua-dua negara itu jauh lebih maju dalam bidang itu berbanding dengan negara-negara Islam yang lain.

Sidang kemuncak empat hari, yang bermula semalam dengan tema ‘Peranan Pembangunan Dalam Akses Kedaulatan Negara’, antara lain, bertujuan membincangkan dan mencari jalan penyelesaian baharu terhadap masalah yang dihadapi dunia Islam serta meningkatkan kesejahteraan ummah dan negara Islam secara umum.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS