PARLIMEN | Pertengkaran di Dewan Rakyat hari ini berhubung isu abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng membawa kepada penggantungan dua anggota parlimen - Khoo Poay Teong (PH-Kota Melaka) dan Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak).
Mereka digantung selepas mengingkari arahan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
Insiden itu bermula ketika sesi soal jawab, yang bermula dengan pertikaian antara RSN Rayer (PH-Jelutong) dan Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).
Rayer bertanya kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sama ada kerajaan bercadang untuk mengajar pelajar sekolah berkenaan pemimpin PH seperti mendiang Karpal Singh dan Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.
Menurut Rayer, dua pemimpin DAP itu memberikan contoh moral yang lebih baik berbanding bekas perdana menteri Najib Razak.
Azeez membalas dengan mencadangkan agar pelajar juga diajar tentang Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), yang mencetuskan bantahan daripada Rayer dan anggota parlimen DAP yang lain.
Ia mendorong Mohamad Ariff untuk menggesa semua pihak bertenang.
Ketika Rayer mahu meneruskan soalannya, Tajuddin yang ketawa dan menepuk dahinya, berkata: "Tumpang tanya, itu abu Chin Peng ke?...Saya tak mahu Jelutong dituduh pakai abu Chin Peng dekat dahi."
Tanda putih yang sering dilihat pada dahi Rayer dikenali sebagai 'Vibhuti', iaitu satu simbol suci dalam agama Hindu.
Rayer menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan itu yang disifatkan menghina penganut Hindu di Malaysia. Tajuddin kemudian berkata, "Okaylah, tarik balik. Apa ada masalah?"
Sidang diteruskan apabila Maszlee menjawab soalan Rayer, diikuti dengan pembentangan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.
Namun pertengkaran berterusan dengan anggota parlimen BN mendakwa Rayer menuduh BN menghina agama Hindu.
Beberapa wakil rakyat daripada kedua-dua pihak bangun dan menunjukkan aturan mesyuarat, manakala, bekas timbalan speaker Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata sidang perlu diteruskan memandangkan Tajuddin telah pun menarik balik kenyataannya.
Shahidan Kassim (BN-Arau) mendakwa Rayer berkata BN secara keseluruhan telah menghina Hindu, manakala Rayer menegaskan dia hanya merujuk kepada Tajuddin selaku anggota parlimen BN.
Mohd Ariff berkata tidak mendengar kenyataan Rayer terhadap BN, namun mengarahkan ia ditarik balik jika benar.
Cha Kee Chin (PH-Rasah) dan Rayer kemudian mendakwa Mohd Ariff bertindak tidak adil.
Mohd Ariff akhirnya memerintahkan semua anggota parlimen untuk duduk.
"Kota Melaka (Khoo), Pasir Salak, sila tinggalkan dewan kerana tidak mengikut arahan Speaker," katanya.
Khoo tampak berat hati untuk keluar, dan berkata, "Saya ingin katakan ini bukan caranya untuk mengawal Dewan."
Tajuddin pula menyindir arahan itu apabila mengucapkan terima kasih kepada Mohd Ariff.
"Terima kasih banyak, saya juga ada Perhimpunan Agung Umno untuk dihadiri," katanya, mencetuskan gesaan agar Mohd Ariff mengenakan tindakan yang lebih tegas kepadanya.
'Seolah-olah tak serius tarik balik'
Dalam sidang media kemudian, Khoo berkata dia cuba untuk merujuk aturan mesyuarat bagi mempertahankan kemuliaan Dewan Rakyat terhadap kenyataan yang berisiko mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
"Kenapa saya tekankan? Sebab kita selalu lihat bagaimana dia (Tajuddin) menarik balik kenyataannya, tapi cara dia buat seolah-olah tidak ikhlas dan tidak serius.
"Apabila speaker mengarahkan dia digantung dua hari, dia kata boleh tambah beberapa hari lagi dan perlu hadir AGM Umno," katanya, yang menganggap ia sebagai penghinaan kepada speaker dan Dewan Rakyat.
Sementara itu Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh menyifatkan Tajuddin telah melampau batas dan DAP akan berbincang sama ada akan memfailkan usul agar Tajuddin dikenakan tindakan selanjutnya.
'Tajuddin perlu minta maaf'
Dalam respons segera, seorang anggota Pemuda MIC menggesa Tajuddin untuk meminta maaf secara terbuka kepada semua penganut Hindu di Malaysia.
"TindakanTajuddin langsung mencerminkan standard yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang bergelar anggota parlimen kerana jelas dia tidak hormat sensitiviti masyarakat India beragama Hindu di Malaysia.
"Ia bukan sahaja memalukan Dewan Rakyat tetapi BN secara keseluruhan...Kita sering mendakwa BN adalah parti untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama," kata Ketua Biro Politik Pemuda MIC Arvind Krishnan.
Anggota Parlimen Batu P Prabakaran pula berkata tidak wajar untuk memperlekehkan budaya dan agama seseorang.
"Walaupun kita ada takat imuniti tertentu di Parlimen, ia tindakan tidak wajar...Perkara yang boleh mengeruhkan keadaan dan merosakkan hubungan kaum dan agama harus dielakkan," katanya lagi.