Paling Popular
Terkini

Seluruh rakyat Malaysia, bukan pihak berkuasa semata-mata, perlu belajar daripada kehilangan Iman iaitu badak sumbu Sumatera betina terakhir negara untuk sentiasa menggengam erat tanggungjawab melindungi haiwan terutama spesies terancam.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Prof Dr Ahmad Ismail, berkata ini penting untuk dijadikan teladan bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang terhadap haiwan terancam lain yang sekali gus boleh mengganggu keseimbangan ekosistem.

"Kita sedia maklum faktor kepupusannya adalah sama iaitu kehilangan habitat asal dan penerokaan hutan serta kerakusan pemburu haram yang terus memburu tanpa mengira natijahnya.

"Selain itu, ia berlaku atas sebab-sebab kekurangan yang lain seperti pemantauan, kesedaran awam, tiada perhatian serius, kurang kajian saintifik, peruntukan kewangan yang tidak mencukupi dan kurang kepakaran dalam bidang berkaitan hidupan liar termasuk pengurusan hidupan liar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penguatkuasaan undang-undang berkaitan sedia ada perlu diperketatkan lagi bagi melindungi haiwan spesies terancam seperti harimau, gajah, seladang, tapir, beruang matahari dan orang utan selain kerjasama sepadu antara jabatan, kerajaan negeri dan persekutuan.

Ahmad yang juga pensyarah Ekotoksikologi dan Ekologi Hidupan Liar, Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia berkata antara usaha yang perlu dilakukan bagi mewujudkan semula badak sumbu Sumatera di negara ini ialah mengintai peluang kerjasama dengan Indonesia.

"Ataupun mungkin perlu dilakukan inventori menyeluruh mana tahu mungkin haiwan ini masih ada di Malaysia dan apa yang penting janganlah kita hanya membincangkan haiwan spesies terancam ini apabila ianya telah pupus kerana itu semua sudah terlambat," katanya.

Kegagalan semua pihak

Menurutnya, kegagalan melindungi badak sumbu Sumatera bukanlah kegagalan pihak-pihak tertentu sebaliknya ia adalah tanggungjawab semua pihak malah dalam semua agama menuntut agar manusia melindungi haiwan, tumbuhan dan bumi.

"Sebab itu penyelidikan penting untuk mendapatkan maklumat bagi menerangkan atau menjelaskan kepada masyarakat tentang perlunya pemuliharaan hidupan liar. Semua orang perlu mempunyai pengetahuan ini dan sebab itu jugalah program pendidikan penting dilaksanakan untuk pengetahuan dan kesedaran awam.

"Apabila semua orang dah faham maka ia menjadi tanggungjawab semua untuk memulihara hidupan liar termasuk harimau, gajah, badak dan sebagainya bagi memastikan kemandirian spesies ini untuk generasi akan datang," kata Ahmad yang juga ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.

Ahmad ketika diminta mengulas laporan media semalam mengenai Pengerusi Borneo Rhino Alliance (Bora), Prof Dr Abdul Hamid Ahmad berhubung pengoperasian Bora di Santuari Badak Borneo di Rizab Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu, Sabah akan diteruskan, beliau berkata usaha keras itu perlu disanjung.

Katanya semangat pemuliharaan badak sumbu Sumatera dan usaha gigih Bora dalam memulihkan semula angka haiwan itu dalam memastikan kelangsungan spesies terancam lain harus dipuji selain memberikan peruntukan yang sewajarnya bagi meneroka bidang sains pemuliharaan khasnya badak sumbu Sumatera.

Kematian Iman pada pukul 5.35 petang di Santuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu Sabtu lepas menjadikan haiwan tersebut telah pupus di negara ini.

Sebelum ini, Iman diberi penjagaan dan perhatian terbaik selepas berjaya ditangkap pada Mac 2014 di Lembah Danum.

Iman mati kira-kira enam bulan selepas badak Sumatera jantan terakhir negara mati akibat kegagalan buah pinggang pada 27 Mei lepas.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS