Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Makan sama-sama, minum sama-sama, tidur saja tak sama’

Calon BN Wee Jeck Seng cuba mengelak pertanyaan pemberita ketika ditanya adakah MCA merupakan ahli dalam Muafakat Nasional.

Bagi menjawab persoalan berkenaan, Wee berkata permuafakatan antara setiap kaum sudah diamalkan sejak dari dulu lagi terutama di kawasan kampung.

“Misi muafakat nasional itu kita sudah ada satu ceramah perdana, saya dekat kampung setiap hari pun lima ke 10 tahun dulu pun kita sudah amalkan permuafakatan.

“Kita duduk macam inilah semeja dengar rintihan buat program macam mana nak bantu. Ha, itulah sebagai tanggungjawab wakil rakyat di Malaysia.

“Itu tiada isu permuafakatan, yang penting kita di Malaysia ini berbilang kaum, kita Cina Melayu India sama dalam satu keluarga besar,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah mesra bersama pemandu teksi di Terminal Bas Pontian hari ini.

Ketika Wee dilihat tidak menjawab soalan, maka pemberita bertanya kembali soalan yang sama, namun calon BN itu berkata pula yang penting adalah harmoni antara semua kaum.

“Bukan..kita saya sudah katakan kita sudah memang selama ini amalkan (permuafakatan) yang penting harmoni bukan timbulkan isu.

“(Yang) penting adalah keharmonian, kita makan sama-sama, minum sama-sama cuma tidur saja tak samalah,” katanya sambil ketawa.

Umno dan PAS menjalinkan kerjasama politik selepas BN tumbang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Melalui Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 Sep lalu, Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional sebagai tanda kerjasama rasmi dua parti politik dominan orang Melayu itu.

MCA dan MIC sebelum ini tidak menjelaskan sama ada kedua-dua parti itu sebahagian daripada kerjasama Umno dan PAS.

Dalam satu kenyataan sehari sebelum Muafakat Nasional ditubuhkan pada 14 Sept, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya akan menyaksikan kerjasama antara "Umno dan PAS" untuk "memastikan ia mematuhi nilai-nilai kepelbagaian budaya dan kesederhanaan".

Begitu juga, Presiden MIC, SA Vigneswaran berkata, beliau hanya akan menjadi saksi kepada piagam Muafakat Nasional tetapi tidak mempunyai peranan di dalam perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata piagam Muafakat Nasional jelas menyatakan ia merupakan kerjasama antara BN dan Gagasan Sejahtera, bermakna ia turut melibatkan parti komponen kedua-dua pihak termasuk MCA, MIC, Berjasa dan juga Ikatan.

Untuk rekod, minggu lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkempen untuk calon BN di pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Sementara itu, Wee yang juga merupakan ketua MCA Tanjung Piai itu menjelaskan bahawa kerajaan sepatutnya membantu institusi pengajian tinggi bagi membina modal insan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang berkata kerajaan bersedia untuk menyalurkan dana sekurang-kurangnya RM30 juta untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) sekiranya MCA melepaskan kawalan parti itu ke atas institusi pendidikan tersebut.

“Kerajaan bertanggungjawab untuk memberi dana kepada institusi pengajian tinggi bagi mengasuh modal insan untuk masa depan kepada siapa sekalipun..penting untuk anak muda kita dan masa depan negara.

“Sepatutnya kerajaan bantu, kenapa sekat itu saya rasa kena tanya mereka,” katanya.

Jelas Lim yang juga merupakan menteri kewangan, syarat itu harus dipenuhi agar pentadbiran PH dapat memenuhi komitmennya terhadap pembaharuan institusi termasuk pemisahan dana dan parti politik.

Selain itu, Wee juga berkata bahawa MCA tidak akan melepaskan institusi pengajian tinggi tersebut.

“Tidak tidak kenapa hendak lepaskan, tidak timbul isu ini, cukuplah tak perlu pergi jauh-jauh,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS