Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sila tangkap itu Teresa Kok dan juga calon PH - Najib
Diterbitkan:  Nov 12, 2019 4:18 PM
Dikemaskini: 8:47 AM

PRK TG PIAI l Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya bertindak ke atas Menteri Industri Utama, Teresa Kok dan calon Pakatan Harapan bagi kerusi Tanjung Piai, Karmaine Sardini atas tuduhan cuba membeli undi.

Menulis di laman Facebooknya, Najib menuduh Kok “merasuah pengundi dengan botol-botol sawit” semasa berkempen.

“Berapa ringgit setiap botol?

“Jika dulu BN buat macam ini, Bersih dah lama guling-guling di jalan raya,” katanya.

Najib merujuk tindakan pemimpin DAP itu, semasa ceramahnya di bandar Pekan Nanas Baru malam semalam, yang mengajukan soalan kuiz secara spontan dan menawarkan sebotol kecil minyak sawit merah bagi jawapan yang betul.

Selain daripada mempromosikan khasiat minyak sawit merah, Kok juga menyelitkan soalan-soalan politik termasuk soalan “Siapakah calon PH di Tanjung Piai?”.

Bagi Karmaine pula, Najib mendakwa calon dari Bersatu itu memberi kad SIM pra-bayar secara percuma semasa ceramah umum di Tenggayun, Pontian, Johor pada 8 November lalu.

Sim kad berkenaan yang bernilai RM10 diedarkan ketika awal ceramah.

“Kita ingin memperingatkan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun bahawa dia telah beberapa kali memperingatkan PH bahawa aktiviti kempen seperti penjamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah sama ada dalam bentuk barangan atau wang, untuk secara rasuah mempengaruhi pengundi adalah kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Saya lampirkan bukti untuk dua insiden ‘pemberian hadiah’ oleh PH dalam PRK Tanjung Piai ini.

“Sila tangkap itu Teresa Kok dan juga calon PH kerana telah terang-terang melanggar undang-undang Malaysia,” kata Najib.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai dijadual pada Sabtu ini.

Ia diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Selain Karmaine, calon lain yang bertanding adalah wakil BN Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS