Amalan bersalaman barangkali dianggap perkara biasa oleh sesetengah orang tetapi tidak bagi seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Sabah.
Apatah lagi jika ia diamalkan setiap hari oleh pelajar sekolah tersebut.
Pengawal keselamatan SK Luagan di Keningau, Sabah, Dali Udan berkata dia merasakan sangat terharu dan dihormati apabila pelajar-pelajar sekolah itu bersalaman dengannya setiap pagi sebelum sesi pembelajaran bermula.
"Saya amat terharu apabila murid-murid bersalam dan mencium tangan saya seperti saya dihargai oleh murid-murid serta warga pendidik SK Luagan. Ini membuatkan saya tidak merasa tertekan semasa menjalankan tugas harian," kata pemuda berusia 27 tahun itu yang sudah hampir setahun berkhidmat di sekolah itu.
Katanya, amalan itu menimbulkan perasaan kekeluargaan antaranya dengan pelajar.
“Saya anggap (pelajar-pelajar tersebut) seperti adik saya sendiri,” katanya.
Video amalan itu tular setelah mula dikongsi di Facebook minggu lalu dan setakat ini telah mendapat 17,000 'like'.
Ia turut menarik perhatian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang memuji amalan itu.
“Budaya menghormati perlu diterapkan kepada anak-anak kita, dan sekolah sememangnya satu platform pendidikan yang memupuk budaya hormat-menghormati," kata Maslee di Twitter.
'Untuk dihormati, hormat orang lain'
Guru Besar SK Luagan, Junis Durulou @ Reddwan berkata amalan bersamalaman dan menicum tangan guru dan pengawal keselamatan di pintu sekolah setiap pagi sudah menjadi rutin harian pelajar-pelajarnya.
"Penting untuk mempraktikkan sikap saling menghormati semasa menyambut kehadiran murid ke sekolah dengan amalan bersalam sebagai restu belajar.
“Pengawal adalah orang penting yang menjaga keselamatan sekolah serta semua warga sekolah dan ibarat abang di sekolah,” katanya.
Katanya lagi, nilai hormat-menghormati juga diterapkan ketika pembelajaran di kelas dan program sekolah, termasuk ketika perhimpunan.
“Kami gunakan konsep kalau mahu dihormati, kita terlebih dulu hormat orang lain dan kalau kita mahu disayangi, kita terlebih dahulu sayang org lain," katanya lagi.