Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pos kawalan PGA di Padang Besar kena serang mercun roket
Diterbitkan:  Oct 28, 2019 11:37 PM
Dikemaskini: 3:37 PM

Kawasan pos kawalan 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) berhampiran pagar sempadan di Padang Besar, diserang sekumpulan dipercayai warga Thailand, menggunakan mercun roket pagi ini.

Komander Briged Utara, PGA Hulu Kinta, Perak SAC Abdul Ghani Mohamad Ji dalam satu kenyataan hari ini berkata, pos kawalan berkenaan diserang kira-kira 11.20 pagi tadi dengan empat das.

Beliau berkata satu tembakan berkenaan mengenai cermin lalu pecah dan satu lagi turut mengenai dinding pos berkenaan.

"Ketika pasukan PGA sedang membuat benteng pertahanan, mereka dikejutkan sekali dengan dua das mercun roket yang dihalakan ke arah mereka kira-kira 12.40 tengah hari tadi. Namun, tiada anggota yang cedera dalam kejadian tersebut," katanya.

Abdul Ghani berkata serangan berkenaan dipercayai untuk menakutkan anggota PGA berikutan kejayaan mereka menggagalkan cubaan menyeludup daun ketum ke negara itu.

Menurutnya, pihaknya juga turut memaklumkan kepada pihak berkuasa Thailand juga telah dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan satu laporan polis telah dibuat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS