Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada menteri tak tahu beza radikal dan ekstremis, kata 'Superman'
Diterbitkan:  Oct 20, 2019 2:19 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Penulis Hew Kuan Yau membidas seorang menteri sebagai tidak tahu membezakan istilah radikal dan ekstremis.

Meskipun tidak menyebut nama menteri yang dimaksudkan, Hew dipercayai merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Hew yang juga dikenali sebagai 'Superman' berkata demikian selepas Syed Saddiq menggelarnya sebagai “super stupid Superman” ketika mengkritik karya komik Hew.

Komik Hew sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas dikatakan menggambarkan orang Melayu yang bersimpati dengan nasib masyarakat Uyghur Muslim di China sebagai radikal.

“Ada seorang menteri tidak tahu membezakan maksud radikal dan ekstremis. Jikalau saya menyifatkan seorang aktivis sebagai pemuda radikal bukannya merendah-rendahkannya.

“Ini kerana radikal tidak sama dengan ekstremis. Ekstremis adalah istilah negatif, apakah dakwaan rasis (terhadap saya)?

“Menurut pengalaman saya sebagai naib presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa, dalam kalangan haluan kiri barat, jikalau anda menyifat seorang pemuda radikal, beliau bukan sahaja tidak marah malah ia diterima baik.

“Ini kerana radikal difikir sebagai berani untuk bertindak dan mengubah realiti yang tidak munasabah secara keseluruhnya, maka ia mencapai idealisme,” kata Hew dalam satu hantaran Facebook.

Hew yang juga merupakan Kurator Kehormat Muzium Kebudayaan Komik Asia itu turut mempertahankan karya komiknya “'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)'.

“Banyak orang bodoh tidak tahu membezakan ciri-ciri pembaharuan dan pembukaan ekonomi China dengan penyebaran ideologi komunis China,” katanya.

Semalam, Syed Saddiq memetik komik 'Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI)' yang berbunyi: "Pemuda Melayu yang radikal yang prihatin tentang pelaksanaan dasar etnik di Xinjiang menyebabkan mereka mempunyai tanggapan negatif terhadap China.

"Terutamanya dalam hal mengenai kerajaan China mengharamkan sekelompok minoriti Uyghur yang terlibat dalam gerakan pemisah yang telah mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat."

Buku komik BRI menjadi kontroversi selepas bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa buku itu diedarkan di sekolah, yang seterusnya membawa kepada larangannya daripada Kementerian Pelajaran.

Hew sebelum ini mempertahankan buku komik berkenaan dengan berkata ia bertujuan mempromosikan pemahaman yang lebih baik tentang projek BRI China.

Kerajaan China telah menempatkan kira-kira 1.5 juta umat Islam Uyghur di kem-kem dalam usaha yang disifatkan sebagai memerangi ekstremisme Islam.

Layanan terhadap etnik Uyghur dikritik ramai pihak di negara demokrasi Barat seperti Amerika Syarikat, British, Perancis, Australia dan Kanada.

Bagaimanpun, pada 14 Julai lalu, Arab Saudi, Syria, Pakistan dan Korea Utara menyokong polisi etnik Uighurs China.

Malaysia dilihat lebih banyak berdiam diri mengenai layanan China terhadap Uyghur.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menjelaskan hal tersebut kerana China adalah sebuah negara yang kuat, selain rakan perdagangan terbesar Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS