Anggota Jawatankuasa DAP Johor, Mahdzir Ibrahim, mencadangkan parti itu agar menyediakan polisi jelas dan tegas bagi mengelakkan kerumitan seperti yang sedang berlaku berhubungi isu komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI).
Kata Mahdzir, kemunculan komik terbabit dan kontroversi yang ada di sekitarnya menyebabkan DAP dikaitkan sekali gus memberi kesan negatif kepada parti terbabit.
Menganggap kandungannya memang tidak sesuai dengan pelajar Malaysia, Mahdzir berkata, DAP wajar mencari jalan tuntas agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
“Saya ingin mencadangkan agar DAP menyediakan polisi yang lebih jelas dan tegas agar perkara seumpama ini tidak berulang dan dikaitkan dengan pendirian parti lagi hingga merosakkan imej parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Isu komik itu timbul dan menjadi perhatian selepas bekas perdana menteri, Najib Razak, baru-baru ini mendakwa ada pihak menyebarkan propaganda DAP dan komunis di sekolah-sekolah.
Komik itu diterbitkan hasil kerjasama Kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia yang berpangkalan di Pulau Pinang, Hew Kuan Yau, dengan artis tempatan Chong Po Ling.
Hew bagaimanapun menafikan komik itu merupakan propaganda komunis dan DAP sambil mengatakan bahawa perdana menteri sendiri menyerahkan komik tersebut kepada presiden Xi Jinping, April lalu.
Tak pernah beri persetujuan
Pada 18 Okt lalu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan komik berkenaan disampaikan kepada Xi bukanlah hadiah rasmi dan diberikan tanpa mengikut prosedur sepatutnya.
Kenyataan itu juga menjelaskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam penerbitan komik berkenaan.
"Beliau juga tidak pernah memberi persetujuan agar gambar beliau diguna pakai untuk apa-apa tujuan atau memberi kebenaran agar komik tersebut diedarkan di sekolah," jelas kenyataan itu.
Sehari sebelum itu Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik juga menjelaskan kementeriannya tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan untuk pengedaran komik berkenaan.
Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata kementerian itu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam penerbitan dan pengedaran komik didakwa berunsur propaganda itu.
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjelaskan pihak polis mengambil keterangan pelukis komik tersebut dan satu atau dua lagi individu berkaitan penerbitannya juga akan dipanggil dalam masa terdekat.
Menurut Mahdzir tindakan sekumpulan wakil rakyat DAP memberikan sokongan mereka kepada komik terbabit meletakkan pertubuhan itu dalam keadaan sukar apabila sesetengah rakyat menganggap ia adalah pendirian rasmi parti.
Sambil terus menghormati kebebasan dalam berkarya, Mahdzir berkata, DAP harus membuat garis panduan yang jelas supaya kreativiti yang ada tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk mengusik sentimen rakyat.
Katanya parti dan wakil rakyat DAP mempunyai tugas yang lebih utama dalam kerajaan dalam memperjuangkan isu-isu penting rakyat.
Parti, kata Mahdzir, tidak harus diheret ke dalam agenda politik sempit pihak-pihak tertentu.
"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.