Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tak minat rampas Putrajaya guna 'pintu belakang' - Annuar

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata parti itu tidak berminat untuk merampas Putrajaya dengan membentuk kerajaan melalui "pintu belakang".

Beliau berkata parti itu kini fokus kepada mendapatkan semula sokongan rakyat serta menyatukan orang melayu melalui Muafakat Nasional.

"Umno tak boleh main silap mata dan kena berpijak di bumi nyata, kita kalah sebab perpecahan orang Melayu.

"jadi kita kena betulkan dulu perpecahan orang Melayu. Maka penawarnya adalah penyatuan ummah," katanya ketika ditemui Malaysiakini hari ini.

Pada 16 Oktober lalu, PH dalam kenyataan mendakwa bekas menteri Hishammuddin Hussein menggerakkan kempen membentuk kerajaan baru yang mengenepikan Amanah dan DAP, serta melibatkan beberapa pihak lain.

"Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum. Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH," kata PH.

Kenyataan itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Beberapa jam sebelum kenyataan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat turut membayangkan yang Hishammuddin bergerak di belakang tabir, dan pada masa sama menggesa anggota parlimen BN agar tidak takut dengan ugutan pendakwaan.

Hishammudin bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Dalam laporan hari ini, sejumlah sumber yang dihubungi Malaysiakini membangkitkan tiga nama - Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dari Bersatu, dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dari PKR.

Mereka didakwa terlibat dalam usaha mengekalkan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga tamat penggal ini, serta rancangan agar Azmin dan Hishammuddin memimpin negara selepas pengerusi Bersatu itu berundur.


Baca: 'Komplot belakang tabir': Sumber dakwa pemimpin PH kerjasama dengan Hisham


Hishammuddin bagaimanapun menafikan perkara itu, manakala pejabat Azmin masih belum memberi maklum balas terhadap pertanyaan Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Annuar berkata pembentukan kerajaan yang "sekadar bernyawa - dengan majoriti mudah dan tanpa sokongan rakyat - tidak akan dapat bertahan pada pilihan raya akan datang.

"Kita tak dapat bentuk kerajaan yang kuat tanpa sokongan orang Cina dan India...Sebab itu kena betulkan sokongan rakyat dulu," katanya yang juga anggota parlimen Ketereh.

Katanya lagi, hanya pemulihan sokongan rakyat kepada BN yang dapat menjadi kekuatan bagi menghadapi PH pada PRU akan datang.

Sementara itu, beliau menyifatkan sokongan orang bukan Melayu, khususnya pengundi Cina, kepada DAP sudah semakin merosot, kerana menurutnya mereka mula melihat kegagalan pemimpin parti itu dalam kerajaan.

"Bahkan segelintir orang Cina juga tidak suka dengan DAP yang dilihat terpakasa akur pada (Perdana Menteri) Dr Mahathir Mohamad," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS