Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, menegaskan bayaran lebih RM28 juta yang disalurkan Putrajaya kepada kerajaan negeri sepanjang tahun ini adalah wang ihsan, sama seperti diterima mereka sejak zaman BN.
Beliau memberi gambaran bahawa jika bayaran itu adalah untuk royalti petroleum Kelantan, jumlahnya akan jadi lebih besar.
"Wang ihsan ini kalau bagi, kita terima tak kisah berapa banyak. Tapi yang kita tuntut - iaitu hak kita - adalah bayaran royalti mengikut perjanjian dan ada nilainya.
"Jumlahnya tidak kurang RM1 bilion seperti yang disebut oleh menteri besar, iaitu jumlah pada 2017 mengikut pengeluaran petroleum dan gas di sempadan Kelantan.
"Isu sekarang adalah wang ihsan berbeza dengan royalti, isu jumlah itu perkara kedua," katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Menurut Mohd Amar lagi dalam surat Kementerian Kewangan (MOF) yang dihantar ke Kelantan pun, ia disebut sebagai wang ihsan
"Macam mana kita nak tukar dengan wang royalti?" katanya lagi.
Kelantan ada rekod
Terdahulu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan sudah membuat bayaran wang royalti kepada Kelantan, sebaliknya kerajaan negeri menafikannya dan menegaskan bayaran itu hanyalah wang ihsan.
Sebagai rekod wang ihsan pada zaman pemerintahan BN diberikan kepada Kelantan melalui peruntukan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.
Bagaimanapun, Mohd Amar mengesahkan bayaran yang diterima tahun ini dibuat terus kepada kerajaan negeri.
Walaupun begitu, katanya, bayaran terus kepada kerajaan negeri itu hanyalah kaedah penyaluran dan tidak bermakna ia adalah royalti yang dituntut mereka.
"Itu hanya dari segi kaedah penyaluran secara teknikal, tapi perkara (bayaran) itu adalah wang ihsan.
"Kenapa pakai (istilah) wang ihsan kalau betul royalti?
"Macam di Terengganu sekarang ini dah tak ada wang ihsan, tapi bayar royalti dan dibayar beratus-ratus juta. Jadi kenapa Terengganu dibayar tapi Kelantan tak dibayar?" katanya.
Kelantan mula mendesak agar diberikan royalti sebanyak lima peratus daripada pengeluaran petroleum di perairan negeri tersebut berdasarkan perjanjian dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Tuntutan tersebut dibuat ketika Kelantan dipimpin Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Exco kanan Kelantan ketika itu, Husam Musa, pula menjadi antara tokoh yang giat menggerakkan desakan berkenaan.
Husam ini dilantik sebagai naib presiden Amanah.
Baca Royalti minyak: Kelantan perlu muhasabah - Husam
Ditanya mengenai jumlah semakan telaga minyak dan gas yang membabitkan pengeluaran di negeri itu, Mohd Amar berkata, sebahagian besar kawasan terlibat sudah jelas.
"Sebab itu Petronas sejak beberapa tahun sebelum ini membayar cukai kepada Kastam Kelantan.
"Rekod bayaran cukai yang ada dalam makluman kita pada tahun tersebut mula dibayar kepada Kastam Kelantan. Sebelum itu dibayar pada Kastam Terengganu kerana telaga itu berada di perairan Kelantan.
"Berapa jumlah (telaga) saya tak ingat, tapi kita ada rekod.
"Setakat ini Terengganu lebih banyak telaga minyak, Kelantan banyak gas iaitu dalam kawasan JDE (Kawasan Pembangunan Bersama)," jelasnya yang juga anggota dewan undangan negeri Panchor.