Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usaha pembangunan semula Kampong Bharu adalah demi menjaga kepentingan masyarakat Melayu di negara ini.
Menurut Dr Mahathir, kepentingan orang Melayu itu terdiri daripada beberapa aspek seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).
"Kepentingan dan kedudukan orang Melayu menjadi teras kepada sesuatu usaha pembangunan Kampong Bharu.
‘’Di dalam akta (PKB) itu sendiri menetapkan bahawa kepentingan orang Melayu termasuklah kepentingan sosial, ekonomi, warisan, adat, budaya dan nilai sejarah akan diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang hendak dilaksanakan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu tayangan video lima minit bagi merasmikan Sesi Townhall Bersama Pemilik dan Pewaris Tanah Kampong Baru, di Dewan Perdana Felda, Hari ini.
Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Rina Mohd Harun.
Kata Dr Mahathir, sebahagian besar masyarakat Melayu tidak lagi memilih untuk menetap di Kampung Bharu, malahan, terdapat warga asing yang mendiami dan menjalankan perniagaan di sana.
‘’Saya mengandaikan hal ini berlaku adalah disebabkan suasana Kampong Bharu yang tidak lagi selesa, telah mengakibatkan orang Melayu tidak lagi memilih untuk tinggal di sini.
‘’Adalah lebih baik jika kawasan ini dibangunkan, disusun semula lengkap dengan kemudahan awam, jaringan insfrastruktur yang efisien,’’ katanya.
Menurutnya, pembangunan semula kampung yang menjadi aset masyarakat Melayu itu bukan hanya memberi manfaat kepada pemilik dan pewaris tanah, malah juga kepada lebih ramai orang Melayu.
"Saya percaya pelaksanaan pembangunan semula ini tidak hanya bermanfaat kepada tuan puan selaku pemilik tanah semata-mata, tetapi turut membuka ruang kepada lebih ramai lagi orang Melayu untuk tinggal dan menjalankan aktiviti perniagaan di Kampong Bharu ini,’’ katanya.
Dalam sesi tayangan itu, Dr Mahathir berkata, pembangunan di Kampong Bharu juga berdassarkan Garis Panduan Senibina Melayu Islam yang telah disediakan.
‘’Pembangunan Kampong Bharu mengambil kira setiap aspek warisan dan sejarahnya, dan ia akan kekal sebagai simbol kebanggaan orang Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur,’’ katanya.
Tambahnya lagi, idea untuk membangunkan semula Kampong Bharu sudah lama dibincangkan, malah pelbagai andaian yang telah dikemukakan, namun Kampong Bharu masih kekal sama.
‘’Kampong Bharu ini telah lama dibincangkan sekitar tahun 80an hingga 90an. Cadangan untuk membangunkan semula telah diusahakan oleh kerajaan.
‘’Pelbagai andaian telah diutarakan, ada yang menyokong dan ada yang sebaliknya. Malangnya, setelah berabad berlalu, Kampong Bharu masih lagi seperti mana tahun-tahun terdahulu,’’ katanya.