Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Seragam 'komunis': Azwanddin minta maaf pada Liew
Diterbitkan:  Aug 28, 2019 8:44 PM
Dikemaskini: 12:57 PM

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah dan Liew Chin Tong hari ini mencapai penyelesaian bagi saman fitnah yang difailkan timbalan menteri pertahanan itu.

Kedua-duanya mencapai persetujuan di depan hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar.

Azwanddin membuat permohonan maaf kepada Liew kerana menuduhnya memakai "seragam komunis" walaupun ia sebenarnya baju korporat bush jacket yang disediakan Kementerian Pertahanan.

Menurut penghakiman persetujuan, Azwanddin berjanji untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Liew dan membayar RM40,000 kepadanya dalam masa 90 hari.

Dia juga perlu mengeluarkan permohonan maaf dalam masa 14 hari di beberapa portal berita, antaranya Malaysiakini, Free Malaysia Today, The Star Online, Utusan Online serta di laman Facebook JMM dan dirinya sendiri.

Liew diwakili Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh yang juga seorang peguam, manakala Azwanddin diwakili Sarah Abishegam.

Pada Disember lalu, Liew memfailkan saman terhadap Azwanddin selepas Azwanddi pada mulanya enggan memohon maaf terhadap tuduhan yang dibuat dua bulan sebelumnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS