Seniman dan bekas pekerja Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu), Pyanhabib membidas kenyataan bekas perdana menteri, Najib Razak yang menyalahkan pihak lain dalam kemelut yang melanda syarikat akhbar itu.
Menurutnya, Najib dan partinya Umno sudah terlambat dan sepatutnya menyalahkan diri sendiri.
"Najib, kamu sedih dan marah? Kah, kah, kah. Gua (saya) sudah jenuh sedih dan marah sebelum kamu sedih dan marah. Gua marah sudah bertahun.
"Kamu tak usah salahkan orang lain, kamu patut salahkan diri kamu dan ahli ketuanan Melayu kamu. Ah, kamu patut lepaskan saja tengkuk kamu. Pi (pergi) main jauh," katanya sebagai respons kenyataan dikeluarkan Najib, semalam.
Terdahulu, Utusan Melayu dilaporkan akan menutup operasinya bermula esok susulan ketidakmampuan menanggung kos operasi selain gagal membayar gaji kakitangan.
Najib dalam kenyataannya menyifatkan nasib yang melanda akhbar yang dulunya milik Umno itu disebabkan tindakan kerajaan PH kerana membekukan aset milik Umno selepas PRU14 lalu sehingga kini.
Sementara itu Pyanhabib yang bekerja lebih 20 tahun di Utusan Melayu berkata, Najib tidak perlu mengungkit mengenai aset parti berjenama penjajah itu sama ada dibekukan atau tidak.
Sebaliknya kata pelakon Kembara Seniman Jalanan itu, lebih tiga juta ahli parti Umno sepatutnya dikerah membeli dan membaca akhbar tersebut.
"Ahli (parti) ketuanan kamu punya lebih tiga juta ahli. Lebih tiga juta ahli itulah yang sepatut-patutnya dikerah membeli dan membaca akhbar di mana ketuanan Melayu kamu adalah rejim.
"Kamu tidak perlu cakap aset ketuanan Melayu (Umno) berjenama penjajah itu dibeku atau tidak dibeku. Itu bangang.
"Tetapi kamu adalah bijak, pintar, cerdik, geliga jika sepanjang pemerintahan rejim kamu, kamu kerah paksa lebih tiga juta ahli kamu membeli dan membaca akhbar yang setiap kali menjelang pilihan raya, kamu terhegeh-hegeh dengannya," ujarnya dalam tulisan di Facebook, hari ini.
Tambah Pyanhabib, dalam saat Utusan Melayu hadapi “kemampusan” ini, Najib berkata Utusan Melayu “simbol dan khazanah orang Melayu serta berkait rapat dengan sejarah negara”.
"Kamu suruh ‘rakyat’ menolong Utusan Melayu dengan membeli senaskah akhbar setiap hari? Kamu lambat.
"Bangunan lama Utusan Melayu yang sangat bersejarah itu, hari ini tunggu masa untuk runtuh-rantah. Habis jahanam.
"Bila pentadbiran Utusan Melayu semua berpindah ke bangunan baru di seberang jalan itu, gua pernah cadangkan supaya bangunan lama dijaga, dihidupkan sebagai galeri atau muzium atau sebagai khutub khanah, perpustakaan atau pusat sumber. Tetapi apa jadi? Tunggu masa, lingkup.
"Bangunan lama Utusan Melayu sangat bersejarah dan di sinilah Utusan Melayu dirampas pentadbirannya oleh parti ketuanan Melayu berjenama Inggeris itu," tambahnya ketika dihubungi Malaysiakini.