Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia berjanji tidak akan menganjurkan himpunan Bersih 6 bagi menuntut Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mengundurkan diri.
Sebaliknya, menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann selaku jurucakap NGO berkenaan, Dr Mahathir perlu menetapkan satu tarikh peralihan kuasa yang jelas.
Katanya, tarikh, antara setahun dari sekarang hingga selewat-lewatnya 9 Mei 2021 perlu ditetapkan untuk mengelakkan pelbagai khabar angin daripada disebarkan.
“Walaupun tidak ada rangka masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Tun (Dr Mahathir) dalam pelbagai majlis sering mengatakan tempoh peralihan akan mengambil masa dua ke tiga tahun selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan.
“Bagi memastikan kelancaran peralihan, (Presiden PKR) Anwar Ibrahim perlu dilantik sebagai timbalan perdana menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan.
“Pelan peralihan yang jelas akan dapat memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya bersama wakil-wakil Abim dan GBM.
Turut hadir, perunding Bersih 2.0, Dr Wong Chin Huat, Pengerusi GBM Zaid Kamaruddin, dan Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Fann seterusnya memberi contoh bagaimana spekulasi yang membabitkan PKR, antara dua pemimpin tertingginya Anwar (presiden) dan Mohamed Azmin Ali (timbalan presiden) yang hampir memecahkan kerjasama parti.
Cadangan mereka itu datang dalam satu pakej bersama gesaan lain, iaitu: mengehadkan tempoh perdana menteri kepada dua penggal, pengurangan pemusatan kuasa perdana menteri, menyegerakan reformasi institusi dan mengubah sistem pilihan raya yang lebih inklusif.
Isu peralihan kuasa perdana menteri menjadi hangat apabila parti komponen PH dilihat mengutarakan pandangan berbeza, dengan banyak pihak dalam Bersatu dan penyokong Azmin mahu Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal pilihan raya ke-14.
Sementara pihak lain dalam PKR pula bertegas mahu Anwar diangkat menjadi perdana menteri dalam masa dua tahun. Pada masa yang sama, sesetengah pihak berasakan Mahathir perlu diberi ruang untuk mentadbir negara dalam tempoh yang secukupnya sebelum menyerahkan jawatan kepada Anwar.
Biarpun begitu, Mahathir berkali-kali menegaskan pendiriannya bahawa dia akan menyerahkan jawatan kepada Anwar seperti yang dijanjikan, melainkan “pistol diacu ke kepalanya”.
Mengulas lanjut, biarpun berpendapat cadangan yang dikemukakan itu sebagai “penting” dan “munasabah”, Thomas bertegas bahawa mereka hanya mahu keadaan dan kestabilan untuk agenda reformasi negara.
“Tak penting bagi kami siapa yang menjadi perdana menteri selepas ini. Kami hanya mahu keadaan dan kestabilan agenda reformasi negara.
“Tapi kami tak akan buat (demonstrasi) Bersih 6 hanya kerana perkara ini,” tambahnya lagi dalam nada berseloroh.
Namun dia turut mengingatkan bahawa kerajaan sepatutnya berpegang pada janji yang dibuat sebelum pilihan raya berhubung peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.
Kata Thomas, mereka akan memberikan kenyataaan media hasil sidang media itu kepada pejabat perdana menteri.
Disoal tentang jangka masa Mahathir patut mengumumkan tarikh peralihan kuasa tersebut, Thomas berkata ia perlu dilakukan secepat mungkin.
"(Tapi) saya tak maksudkanlah hari ini, tapi secepat mungkin, kerana kegentingan isu ini. Sekarang, kita asyik dengar kenyataaan orang ini sokong orang itu, orang itu sokong orang ini, itu perkara terakhir kita nak lihat.
"Usaha melobi ini memecahbelahkan pakatan itu dan memecahbelahkan negara.
"Kami cadangkan (pengumuman tentang tarikh peralihan) dibuat secepat mungkin. Boleh jadi beberapa minggu, boleh jadi sebulan dari sekarang. Tapi semakin lama bertangguh, semakin ia akan menjejaskan kestabilan negara kita," katanya.