Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami guna peluru getah kerana kamu saudara kami'
Diterbitkan:  Aug 2, 2019 9:48 PM
Dikemaskini: 1:48 PM

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin menjawab istilah 'peluru getah' yang digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menggambarkan kritikan pemimpin Amanah terhadap PAS.

Jelas Zolkharnain, pemimpin Amanah sekadar menggunakan 'peluru getah' dalam politik kerana masih lagi menganggap seteru politik termasuk pemimpin PAS sebagai rakyat Malaysia dan saudara yang haram ditumpahkan darahnya.

"Dalam politik, kami guna peluru getah. Tak ada sesiapa yang cedera parah apatah lagi terkorban.

"Bagi kami, semua rakyat Malaysia, haram darah mereka ditumpahkan.

"[...] Kami gunakan peluru getah terhadap kamu kerana kamu adalah saudara kami," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Abdul Hadi sebelum ini berkata PAS tidak terkesan dengan serangan pemimpin parti Amanah dan menyifatkan kritikan mereka sebagai "peluru getah".

"Sekarang ini peluru Amanah itu peluru getah saja, dia tembak PAS tak jadi apa (tiada kesan), jadi saya buat diam saja lah.

"Peluru tendang balik, kena dia (Amanah) balik," kata Abdul Hadi dalam sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, Zolkharnain yang juga merupakan timbalan Yang diPertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) berkata pemimpin Amanah juga tidak mengkafirkan pihak yang berbeza pendirian politik.

"Tak ada sesiapa yang jadi kafir atau kafir harbi yang halal darah kerana berbeza pendirian politik dengan kami.

"Kami berbeza dengan kamu yang menganggap orang yang keluar daripada parti kamu seperti keluar agama. Bahkan ada dalam kalangan kamu yang pernah menghalalkan darah kami.

"Betul, kami hanya guna peluru getah dalam politik. Kami bukan seperti kamu yang sanggup guna peluru hidup kerana kamu menganggap halal darah orang yang tidak bersama kamu," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS