Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembebasan Haziq: Tidak ada apa yang perlu dispekulasi, kata Hilman

Hilman Idham, setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali enggan membuat sebarang spekulasi berhubung pembebasan Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terlibat dalam klip video seks baru-baru ini.

Katanya, segala siasatan telah dijalankan dengan baik dan profesional oleh pihak polis.

“Saya rasa polis telah jalankan siasatan dengan baik dan profesional, jadi saya ingat tidak ada apa yang perlu dispekulasi berhubung pembebasan itu.

“Kalau Haziq dah berikan kenyataan dan polis pun rasa dah lengkap dan tak perlu reman dan sebagainya jadi itu pertimbangan polislah,” katanya ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang, hari ini.

Hilman berkata demikian ketika diminta mengulas pembebasan Haziq Sabtu lalu selepas ditahan hampir 24 jam.

Jumaat lalu, polis menahan Haziq di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) kira-kira jam 5.30 petang.

Berdasarkan tiket penerbangan yang ada padanya, Haziq dipercayai mahu berlepas ke Manila, Filipina.

Bagaimanapun Haziq kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.

Minggu lalu, Haziq yang mendakwa terlibat sama dalam video terbabit tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat dalam aksi atas ranjang bersama Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR.

Sementara itu, diminta mengulas sejauh mana Azmin perlu berhati-hati dengan pembebasan Haziq kerana dikhuatiri akan ada klip video seterusnya didedahkan, ini jawapan Hilman.

“Kita dah beri semua kerjasama dan kita serah kepada polis.”

Selasa lalu, tiga klip video memaparkan seorang lelaki yang didakwa Haziq sebagai Azmin Ali mula tersebar di media sosial secara sistematik.

Ia disusuli dengan pengakuan Haziq bahawa dia memang terlibat dalam aksi atas ranjang tersebut.

Azmin bagaimanapun menafikan penglibatannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai usaha memusnahkan karier politiknya.

Khamis lalu Haziq turut membuat laporan polis dengan niat untuk menyangkal tuduhan yang dilemparkan terhadapnya yang dibuat oleh "netizens, cybertroopers, Hilman serta yang lain-lain" dan juga kerana bimbang terhadap keselamatannya.

Selain mengulangi tuduhannya dan mendakwa ini bukan kali pertama mereka bersama, dia juga mendakwa bahawa Hilman mengugut dan memaksanya supaya berbohong mengenai apa yang sebenarnya berlaku.

Keesokkannya Hilman pula membuat laporan balas terhadap Haziq di IPD Putrajaya bersekali gus dengan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat.

Terdahulu Hilman hadir ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Sepang untuk diambil keterangan berhubung laporan balas terhadap laporan Haziq Aziz, kira-kira jam 11.05 pagi.

Bagaimanapun, Hilman keluar lima minit kemudian kerana dimaklumkan keterangan yang diberikan pihaknya pada Jumaat di IPD Putrajaya sudah mencukupi.

“Hari ini septatutnya mereka (polis) nak rakam keterangan saya tentang laporan Haziq yang mengatakan kononnya saya ugut beliau, tetapi segala keterangan saya dah berikan Jumaat lepas, jadi, tidak ada keperluan lagi buat masa ini untuk polis rakam percakapan saya.

“Dan saya pun telah diminta oleh YB Azmin untuk berikan segala kerjasama pada pihak polis supaya siasatan dapat dilaksanakan.

“Tetapi mereka akan maklumkan sekiranya ada keperluan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS