Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS, Umno kecam sebaran 'video intim menteri’
Diterbitkan:  Jun 11, 2019 5:27 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Umno dan PAS sama-sama mengecam penyebaran video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri dan menyifatkannya sebagai politik kotor dan lucah untuk 'membunuh karakter' serta menjatuhkan lawan pemimpin politik tertentu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hal ini sekaligus akan mengundang murka Allah SWT, maka orang ramai khususnya umat Islam harus kekal berpegang kepada prinsip Islam.

"Pandangan saya kita harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkannya agar tidak dilaknat Allah dan dibuka keaiban kita di dunia dan di akhirat kelak.

"Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu, pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat bakal menimpa kita," tulis beliau di laman Facebooknya, hari ini.

Asyraf turut memetik sepotong hadis yang membawa maksud Nabi Muhammad SAW melarang umatnya mencari aib atau membuka aib sesama Muslim.

Awal pagi tadi penyebaran gambar-gambar dan video berkenaan dilakukan melalui satu kumpulan WhatsApp yang diberi nama ‘Jemputan Hari Raya’.

Beberapa wartawan Malaysiakini turut dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp berkenaan di mana klip video tersebut dikongsikan.

Klip video itu memaparkan dua lelaki berada di katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai menteri kabinet tersebut.

Sementara itu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tidak mengetahui mengenai penyebaran mengenai beberapa keping gambar dan video ‘intim sejenis’ yang didakwa mirip seorang menteri kabinetnya yang tersebar hari ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata banyak perkara masih belum berubah mengenai cara dan gaya orang Malaysia berpolitik dan sampai kepada satu tahap tidak rasional.

"Politik fitnah dan politik lucah masih menjadi pilihan sebahagian politikus di Malaysia dalam usaha mereka mendapat tempat di pentas politik dan sekaligus mencapai matlamat mereka tanpa peduli apa cara yang terpaksa mereka lakukan.

"Tentu sahaja Islam menolak sekeras-kerasnya kaedah 'politik selak kain' seperti ini. Membunuh karekter seseorang dengan mengaib dan memalukannya pada khalayak.

"Berbeza aliran dan bercanggah pandangan politik biarlah dalam skop persaingan hujah. 

"Tidak perlu sampai ke peringkat menjatuhkan maruah pihak lain pada tahap sedemikian rupa," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nasrudin lagi, meskipun sekiranya terdapat salah laku dan kemungkaran yang dilakukan secara terbuka, ia harus dibanteras dengan cara yang bertamadun. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS