Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa ketuai SPRM: Ingatkan lawak, kata naib presiden PAS
Diterbitkan:  Jun 4, 2019 4:53 PM
Dikemaskini: 8:59 AM

Beberapa jam selepas pengumuman pelantikan bos baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) khabar itu disambut negatif oleh pembangkang.

Rata-rata daripada mereka mempertikaikan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya baru SPRM itu, antara lain mengaitkannya dengan janji PH sebelum ini.

Naib Presiden PAS Iskandar A Samad misalnya berkata beliau menanggap laporan mengenai pelantikan peguam dan pemimpin pusat PKR itu sama ada sebagai berita palsu atau jenaka menjelang Aidilfitri.

“Pada mulanya saya menyangka berita perlantikan Latheefa Koya sebagai ketua baru SPRM adalah fake news atau lawak jenaka menjelang hari raya, tetapi setelah menyemak sebuah portal berita, pelantikan itu adalah benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adun Cempaka itu juga berkata, di bawah Latheefa integriti SPRM akan diragui jika berlaku pendakwaan atau kes yang tidak diambil tindakan meskipun beliau berlaku adil.

“SPRM akan sentiasa dipertikaikan. Ini tidak akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap badan itu.

"Ianya juga tidak baik untuk imej negara di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ada pegawai dalaman layak

Iskandar menambah kenyataannya itu bukan mempertikaikan kemampuan Latheefa sebaliknya menganggap ia sebagai tidak wajar kerana Latheefa merupakan ahli politik.

Turut mengkritik pelantikan tersebut ialah anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Berbanding Iskandar yang memberikan kewajaran sikapnya, Nik Abduh sekadar memberi kenyataan ringkas.

“Orang politik ketuai SPRM? Aaarr sudoh doh laa..” tulisnya di Facebook.

Pemuda Ikatan pula menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah terburu-buru dan menggesa PH mematuhi janji manifesto mereka yang ingin membawa pembaharuan kepada sistem negara.

“Bagaimanakah SPRM akan dilihat sebagai sebuah badan bebas dan adil jika ketuanya merupakan seorang ahli politik?

“Adakah pegawai-pegawai SPRM sedia ada tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai ketua pesuruhjaya baru?

“Dewan Pemuda Ikatan berpendapat ramai lagi pegawai yang berkelayakan, yang sudah bekerja dari bawah sewaktu Badan Pencegah Rasuah ditubuhkan, hinggalah namanya ditukar SPRM.

“Antara tokoh yang dianggap berkelayakan ialah Datuk Seri Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, yang terbukti telah bekerja untuk negara selama lebih 20 tahun,” katanya.

Sementara itu, nada berbeza diberi Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan yakin Latheefa mampu menggalas tugas yang diberikan kepadanya.

“Dengan latar belakang profesional yang mengagumkan, Latheefa merupakan seorang peguam dan aktivis dan pilihan terbaik kerajaan untuk mereformasikan tadbir urus negara ke arah yang lebih telus dan berintegriti.

“Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, beliau telah mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi dan juga yang membabitkan kepentingan awam,” katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa Latheefa, yang merupakan pengarah eksekutif Lawyers For Liberty menggantikan Mohd Shukri Abdull sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS