Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua pengarah Yapeim digantung tugas
Diterbitkan:  May 21, 2019 12:32 PM
Dikemaskini: 7:01 AM

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) mengumumkan penggantungan sementara Abibullah Samsudin dari menjalankan tugas sebagai ketua pengarah berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yapeim Mohd Daud Bakar memaklumkan bahawa tindakan itu diambil bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan salah laku yang dikaitkan dengan Abibullah.

"Sepanjang penggantungan tersebut, jawatankuasa siasatan akan meminta beliau (Abibullah) untuk hadir bagi memberikan keterangan dan membantu siasatan berkenaan dakwaan tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa tugas ketua pengarah Yapeim akan dipangku oleh pengarah kanannya, Parihah Hasan.

Pada 18 Mei lalu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dilaporkan membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki yang didakwa Abibullah, mempengaruhi kakitangan Yapeim pada pilihan raya umum lepas.

Individu dalam klip video itu juga mengugut untuk memeriksa satu persatu undi kakitangannya dan berkata “kalau anda mengundi PH, anda tak layak duduk di Yapeim. Pergilah cari kerja dengan DAP”.

Kontroversi itu hadir ketika Yapeim turut berhadapan dengan dakwaan penyalahgunaan RM1 juta daripada dana anak yatim yang diamanahkan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada 2017.

Bagaimanapun, Yapeim menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan yuran guaman itu diambil daripada dana am dan bukannya dana amal jariah.

Media sebelum ini turut melaporkan Yapeim mengalami kerugian RM12 juta menerusi skim gadaian emasnya Ar-Rahnu yang melibatkan 1,000 pelanggan, apabila didakwa gagal membuat lelongan ke atas barang kemas tidak ditebus sebanyak 300 kg dengan nilai RM80 juta, dari 2012 hingga 2014.

Beberapa kilogram emas juga didakwa hilang susulan transaksi meragukan.

Pada sidang media 15 Mei lalu, Mohd Daud mengakui bahawa selepas meneliti laporan audit luar oleh firma PwC, wujud kemungkinan salah laku dan kecuaian terhadap pihak pengurusan yayasan itu sejak beberapa tahun yang lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS