Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images

LANGSUNG |  Malaysiakini membawakan laporan langsung keputusan pilihan raya kecil parlimen Sandakan hari ini.

LANGSUNG

Terima kasih kerana melayari Malaysiakini.

Laporan dibawakan oleh wartawan Lu Wei Hong dan Geraldine Tong.

Siaran langsung KiniTV pula dikendalikan wartawan penyiaran Faye Liow and Baharudin Suarnur, manakala rekaan grafik oleh Syariman Badrulzaman. Kemaskini media sosial oleh Ewe Linq Yenn dan analisis oleh Andrew Ong.

Rumusan di bawah mengakhiri laporan langsung ini.


Analisis ringkas PRK Sandakan

10.00pm - Pemerhatian berdasarkan data pilihan raya kecil Sandakan menunjukkan:

  • Terdapat kemungkinan besar peralihan sokongan daripada pengundi bumiputera Islam kepada DAP. Di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sim Sim sebanyak 12 peratus undi beralih kepada DAP, manakala 13 peratus sokongan beralih ke parti itu di Pulau Berhala. Kedua-dua PDM yang dimenangi BN pada PRU14 ini merupakan kawasan dengan pengundi majoriti beragama Islam.
  • DAP jelas meraih sokongan undi awal dan undi pos dengan memperolehi 70.2 peratus undi pos, peningkatan daripada 19.44 peratus pada pilihan raya umum 2018 lalu. Sementara itu, DAP juga mendapat 39.9 peratus undi awal, naik daripada 22.22 peratus pada PRU14 lalu.
  • Pencapaian ini menandakan perkembangan baik unuk PH berbanding tiga PRK terdahulu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.
  • Peralihan sokongan ini dikatakan hasil usaha Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal yang bekerja kuat turun berkempen di kawasan majoriti bumiputera Islam itu. Di kawasan ini, Shafie telah membuktikan beliau ialah 'bossku Sabah'.
  • Dalam perkembangan lain, pengundi berusia lebih ramai keluar mengundi berbanding pemilih muda.
  • Bagaimanapun, pencapaian PBS tidak terlalu teruk, apatah lagi berjaya mendapatkan satu perlima daripada undi. Hal ini dengan mengambil kira Sandakan bukanlah padang PBS selain parti itu tiada akar umbi dan rakan sekutu yang boleh bergantung harap.
  • Walaupun peratusan keluar mengundi rendah sebanyak 54.44 peratus, namun PH akhirnya berjaya menang dengan jumlah undi yang bertambah.


Wong atasi pencapaian mendiang bapa

9.25pm: Kemenangan Vivian Wong dengan undi dan majoriti yang lebih besar mengatasi pencapaian mendiang bapanya pada PRU14.

Pada PRU14, Stephen Wong mendapat 67.97 peratus undi dengan majoriti kemenangan 10,098 undi.

Sementara itu, Vivian mendapat 74.18 peratus undi, dengan majoriti kemenangan 11,531 undi berbanding pesaing terdekatnya calon PBS, Linda Tsen.

Ini walaupun, Stephen meraih undi yang lebih besar sebanyak 19,094 undi berbanding anaknya Vivian yang memperoleh 16,012 undi. Hal ini sudah dijangkakan memandangkan kebiasaannya peratusan keluar mengundi rendah ketika PRK.


'Boss Shafie' harap Umno sedar diri

7.20pm - Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal mengucapkan terima kasih kepada para pengundi atas kemenangan Vivian Wong.

Kata Shafie yang juga presiden Warisan, kemenangan Wong pada PRK ini menunjukkan rakyat merestui kerajaan pimpinannya.

"Kemenangan ini merupakan kejayaan rakyat dan juga sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Warisan.

"Kemenangan ini menunjukkan dengan jelas Umno sudah tidak lagi memberi kesan terhadap pengundi bumiputera Islam yang pada kali ini telah menunjukkan tahap sokongan yang kuat kepada calon DAP," kata beliau.

Shafie juga berkata akan memimpin Wong dan akan melawat Sandakan sekerap yang mungkin bagi melaksanakan projek pembangunan.

MP Semporna selanjutnya berkata penghargaan perlu diberikan kepada DAP, PKR, Upko dan Amanah atas kejayaan ini.


Kemenangan ini untuk mendiang bapa - Wong

9.15pm: SMK Tiong Hua - Vivian Wong (gambar, kiri) mendedikasikan kemenangan hari ini kepada mendiang bapanya, penyandang terdahulu kerusi parlimen Sandakan, Stephen Wong.

"Tanpa beliau saya tidak akan mampu berada di sini untuk bercakap kepada anda semua. 

"Beliau mendidik saya menjadikan saya sebagai mana hari ini, seorang wanita yang yakin diri. Kemenangan ini bukan hanya kemenangan saya, tetapi buat mendiang ayah saya juga.

"Perkara pertama yang akan saya lakukan adalah menziarahi pusara mendiang ayah esok dan menzahirkan rasa terima kasih ini kepadanya," katanya pada sidang akhbar selepas diumumkan sebagai pemenang.

Wong turut berterima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal dan semua yang membantu kempennya serta para pengundi Sandakan.

Kata Wong lagi, dia telah pun menerima beberapa aduan daripada masyarakat setempat dan akan bekerja untuk memperbaiki kawasan parlimen yang diwakilinya itu.


Rasmi: DAP pertahan Sandakan, tambah majoriti

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon DAP Vivian Wong menang pada PRK Parlimen Sandakan.

Wong menang dengan majoriti besar 11,521 undi, selepas mendapat 16,012 undi.

Calon PH itu menewaskan calon PBS Linda Tsen yang memperolehi 4,491 undi dan tiga calon bebas pula hlang wang deposit iaitu Hamzah Abdullah, 65, (788 undi) Chia Siew Yung, 46, (178 undi) dan Sulaiman Samat, 36, (126 undi).


Syabas, harap DAP tunai janji - PBS

8.40pm: Presiden PBS Maximus Ongkili (gambar) mengucapkan tahniah kepada calon DAP Vivian Wong susulan kemenangannya.

"Pengundi telah membuat pilihan dan kami menghormati keputusan pengundi. Kami harap DAP akan menunaikan semua janji yang dibuat kepada rakyat," katanya.

Menurut Ongkili walaupun keputusan tidak terlalu memberangsangkan buat partinya tetapi ia menunjukkan PBS 'masih lagi menyengat'.

"PBS bertanding dengan baik, tetapi akhirnya, kami tidak dapat mengatasi kekuatan yang kami hadapi. Semoga tuhan memberkati Sandakan, Sabah dan Malaysia," katanya.


'Bos Sabah Shafie tewaskan Bossku Najib' - DAP

8.30pm: Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak berkempen di Sandakan semalam memang mendatangkan kebimbangan buat DAP, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Menurut Lim lagi, bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah berjaya menewaskan "bossku" dari Semenanjung Malaysia.

"(Penghargaan) khususnya atas kepimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal. Ada fikir mungkin kita salah kerana semalam bossku datang. Semalam bossku kata PBS akan menang.

"Bossku (Najib) terlupa bahawa rakyat marah dengan rasuah dan rakyat Sabah telah menolak Umno, PAS dan PBS.

"Ini kejayaan buat rakyat Sandakan. Ia di luar jangkaan," katanya.


Sandakan bukan padang PBS - Analisis

8pm: Pada setiap pilihan raya kecil menjadi kebiasaan untuk mendapat peratusan keluar mengundi yang rendah dan Sandakan tidak ada bezanya.

Justeru itu, kerahan penyokong dan pengundi parti menjadi kunci kemenangan.

Di sinilah kegagalan Parti Bersatu Sabah. 

Sandakan memang bukan padang PBS kerana sejak 1995 lagi, komponen BN yang bertanding di kerusi parlimen ini terdiri daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Gerakan.

Kempen PBS bukan tandingan keupayaan DAP dan parti-parti PH.

PBS juga tidak berkempen dengan sekutu pembangkangnya. Kadang kala, parti pembangkang lain akan mengadakan kegiatan kempen tanpa penglibatan PBS.

Sekutu PBS dalam Gabungan Bersatu Sabah juga kelihatan tidak memberi kesan kehadirannya di Sandakan.


DAP raih undi Muslim

7.40pm - DAP dilihat berjaya menembusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sim Sim dan Pulau Berhala yang dilihat sebagai kubu kuat BN.

Dua PDM ini mempunyai jumlah pengundi beragama Islam tertinggi di kawasan itu. Sekiranya DAP menawan kedua-dua daerah mengundi tersebut, ia bermakna mereka 'menyapu bersih' kesemua 17 PDM di Sandakan.

Sim Sim dan Pulau Berhala menjadi tumpuan bagi Umno Sabah, PAS dan bekas-bekas pemimpin Umno turun berkempen untuk calon PBS.

Ketua Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal dan pimpinan Parti Warisan Sabah turut berkempen di kedua-dua PDM ini dalam persaingan PH merebut undi bumiputera Islam di Sandakan.


Undi awal, pos tukar arah ke PH?

7.25pm: Berdasarkan kiraan tidak rasmi, kelihatan PH akhirnya menunjukkan ia mampu menarik sokongan undi awal dan undi pos, berbanding tiga PRK terdahulu.

DAP memperolehi 58.8 peratus undi pos dan undi awal, peningkatan buat prestasi PH berbanding PRK Rantau dan PRK Semenyih. Pada keduai-dua PRK terdahulu itu, undi awal dan undi pos memihak kepada calon pembangkang.

Terdapat juga pertambahan mendadak undi awal dan undi pos kepada DAP berbanding keputusan PRU14 lalu.


Tak rasmi: PH menang di Sandakan

(Vivian, gambar tengah, bersama veteran DAP Lim Kit Siang)

7pm: Calon DAP Vivian Wong Shir Yee menang pilihan raya kecil parlimen Sandakan, berdasarkan kiraan tidak rasmi Malaysiakini.

Pada masa penulisan, dianggarkan secara tidak rasmi kadar keluar mengundi pada 55 peratus, maka DAP mendahuli kiraan tanpa dapat disaingi lagi dengan mendapat 73.95 peratus undi.

Calon PBS, Linda Tsen Thau Lin pula menyusul di tangga kedua dengan mendapat 21 peratus undi.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit SIang hadir mengucapkan tahniah atas kemenangan Vivian.

Pada setiap keputusan kiraan undi diumumkan, hadirin yang berhimpun menyambutnya dengan sorak-sorai penuh meriah di ibu pejabat DAP Sandakan.


Kemarau PH berakhir di Sandakan - Tak rasmi

6.40pm: Malaysiakini menganggarkan kadar keluar mengundi keseluruhan adalah sebanyak 55 peratus. Berdasarkan angka tersebut, maka separuh daripada undi yang dibuang hari ini sedang dikira pada saat ini.

Secara tak rasmi, DAP mendahului kiraan undi dengan marjin besar, memperolehi 8,766 undi dengan mendapat 77.83 peratus.

Pesaing terdekatnya PBS, mendapat 17.96 peratus undi setakat ini.

Sementara itu, calon bebas Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat (69 undi) dan Chia Siew Yung besar kemungkinan hilang wang pertaruhan.


Tak rasmi: DAP menang PDM Pasar

6.23pm: TIDAK RASMI | DAP menang Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pasar dengan mendapat peratusan undi sebanyak 89.96 peratus, diikuti calon PBS dnegan 7.83 peratus.

Kadar keluar mengundi di PDM ini sekitar 63.8 peratus.

Adakah tren ini akan berterusan?


Undi sedang dikira

5.30pm: Proses pengiraan undi sedang berjalan.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PH (lambang DAP) Vivian Wong Shir Yee, calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon bebas iaitu bekas ahli Amanah Sabah Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Samat.

Vivian Wong (tiga dari kiri) di ibu pejabat DAP Sandakan, petang hari ini.



Pengundian tamat tepat jam 5 petang

5pm: Pengundian PRK Sandakan berakhir tepat jam petang tadi sejak dibuka pada 7.30 pagi ini.

Kesemua 19 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan ditutup tepat pukul 5 petang ini sejak ia dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi di kesemua 19 pusat pengundian setakat pukul 4 petang ialah 51 peratus.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS