ULASAN | Pertamanya, kami lafazkan alhamdulillah atas pelbagai kurniaan Tuhan kepada kita yang Allah muliakan dengan sebaik-baik kejadian, pelbagai nikmat dan keistimewaan sehingga Allah menyebut dengan firman-Nya (maksudnya):
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” - Surah al-Tin (4)
Tetapi hendaklah kita membacanya dengan ayat selepas itu sebagai peringatan untuk sentiasa menyedari akan hakikat sebagai hamba Allah yang wajib mentaati-Nya. Firman Allah SWT (maksudnya):
“Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.” - Surah al-Tin (5)
Kami terbaca kenyataan Puan Latheefa Koya dalam Facebook beliau yang secara umumnya merumuskan bahawa wanita Muslimah tidak wajar dipaksa bertudung.
Ada beberapa perkara dalam kenyataan beliau yang pada hemat kami, wajar diberi penjelasan kerana ia boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam.
“Namun saya langsung tidak setuju orang dipaksa pakai tudung! Itu bukan cara Islam. Tiada paksaan dalam Islam. Mana pergi prinsip ini.
“Hanya semata-mata seorang tak pakai tudung - adakah dia akan masuk neraka? adakah dia jadi murtad? adakah dia jadi seorang perempuan yang jalang? come on-lah. Itu adalah satu pemikiran ekstremis.”
Kami nyatakan di sini beberapa noktah sebagai pencerahan:
Pertama: Tafsiran ayat la ikraha fi al-din
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” - (Terjemahan Surah al-Baqarah: 256)
Jika diteliti dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar seperti Tafsir al-Qur’an al-‘Azim misalnya, ayat di atas jelas berkaitan dengan kemasukan manusia kepada agama Islam. Imam Ibn Kathir menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan.
Ini bermakna, ayat ini tidak disesuai dipadankan dengan mereka yang sudah pun berada dalam agama Islam. Ayat ini adalah larangan paksaan kepada bukan Muslim untuk memeluk Islam.
Kedua: Falasi strawman
Dalam falasi strawman, seseorang menyerang satu-satu hujah yang didakwanya adalah hujah lawan. Berbanding berusaha untuk berhadapan dengan hujah yang sebenar, seseorang yang menggunakan falasi strawman menyerang sesuatu hujah yang diciptanya sendiri atau berlebih-lebihan dalam menanggapi hujah tersebut yang dilihat senang dikalahkan seumpama orang jerami yang tidak bernyawa. Pada hakikatnya, ia bukanlah hujah pihak lawannya.
Kami berpandangan, Puan Latheefa Koya menggunakan bentuk falasi yang sama kerana tidak pernah ada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam agama atau ulama yang menegaskan bahawa perempuan Muslimah yang memilih untuk tidak bertudung sebagai murtad, masuk neraka dan perempuan jalang. Malah, ia jauh sekali berada dalam dua sumber rujukan Islam iaitu al-Qur’an dan al-Hadith.
Jika kenyataan sedemikian keluar daripada mulut orang awam, itu bukanlah hujah yang kukuh untuk dizahirkan kerana ianya tidak bersandarkan apa-apa bukti daripada dua sumber berkenaan. Kami khuatir ianya memberi perspektif yang negatif terhadap agama Islam itu sendiri.
Ketiga: Memahami hikmah syariah
Suka kami nyatakan satu kaedah yang masyhur (maksudnya):
“Hukum-hukum syarak itu dinyatakan sebab-sebab penurunannya, diikat dengan maslahat-maslahat.”
Ertinya, tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu. Begitu juga, hukum syarak sentiasa mempunyai maslahat yang terkadang-kadang tidak dijangkaui oleh akal dan logik manusia, tetapi dapat dikesani dengan suluhan yang sentiasa memahami nilai tinggi Syariat. Inilah hikmah yang dikurniakan Allah kepada siapa yang dikehendaki dan sesiapa yang dikurniakan hikmah, sudah barang tentu dikurniakan kepadanya kebaikan yang banyak.
Benarlah firman Allah SWT (maksudnya):
“Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” - Surah al-Baqarah (269)
Keempat: Bertudung pun dicabul/dirogol?
Mungkin ada yang berhujah bahawa menutup aurat juga tidak menjamin keselamatan wanita daripada gangguan seksual dan kes-kes lain yang lebih berat seperti dirogol. Kami tidak menafikannya malah amat bersetuju. Cuma, akal yang logik dan waras sudah tentu boleh memahami bahawa ia adalah kerosakan sampingan (collateral damage) akibat rangsangan nafsu lelaki yang melihat tubuh badan wanita lain.
Menurut Journal of Adolescent Health, pendedahan kepada pornografi secara berlebihan boleh membawa kepada lapan masalah. Antaranya adalah persepsi seksual yang keterlaluan dalam masyarakat dan kepercayaan bahawa hubungan seks bebas (promiscuity) adalah normal. Kajian seorang sosiologis, Jill Manning pula mendapati pornografi boleh membawa kepada beberapa sikap kepada penagihnya. Antaranya ialah “selera” yang meningkat terhadap pornografi bergambar dan aktiviti seksual yang berkaitan dengan kekerasan, salah dari segi undang-undang dan hubungan seksual yang tidak selamat.
Justeru, tidakkah ia hujah yang sangat ampuh bagi Muslimah untuk bertudung sebagai mematuhi perintah Allah SWT dan memelihara dirinya daripada pandangan yang jahat?
Kesimpulan
Adakah wanita Muslimah wajar dipaksa bertudung? Dari sudut fikahnya, pemerintah berhak untuk bertindak namun dari sudut keluasan dakwah Islam, kami melihat perlu tindakan yang agresif dalam kalangan agensi-agensi agama dan NGO Islam bagi memupuk kesedaran kepentingan mengikut syariat Allah SWT antaranya dalam isu berpakaian.
Dehijabing adalah satu pilihan atas kehendak mereka, namun mempromosikannya dalam bentuk forum atau lain-lain adalah satu bentuk norma kehidupan yang bercanggah dengan budaya Islam. Dalam wacana yang bersifat dakwah dan perbincangan ilmiah, kami amat tidak gemar untuk menggunakan sebarang peruntukan undang-undang yang boleh disalah tafsir sebagai “menindas” dan “kekerasan”. Namun, membincangkan soal agama tanpa sebarang tauliah adalah jelas satu kesalahan.
Merujuk kepada Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian III - Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya (Seksyen 11, Mengajar agama tanpa tauliah.)
Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah seksyen 96 Akta Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 98 Akta Pentadbiran; atau mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.
Kami tidak cenderung kepada kelompok yang hanya menyalahkan wanita dalam isu ini dan membiarkan lelaki. Dalam hal wanita yang mendedahkan aurat, lelaki juga berperanan untuk menundukkan pandangan dan bukannya mengecam dengan kata-kata nista atas dosa yang dilakukan wanita berkenaan. Inilah yang ditegaskan dalam Islam. Kedua-dua belah pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjalankan syariat-Nya.
Rasulullah SAW sendiri sudah mendidik kaum lelaki agar lebih menjaga pandangan mereka. Daripada Ibn ‘Abbas katanya (bermaksud):
“Bahawasanya seorang wanita daripada Khath’am meminta fatwa daripada Rasulullah SAW semasa Hajjatul Wada’. Al-Fadhl bin ‘Abbas menunggang di belakang Rasulullah SAW. Wanita tersebut bertanya: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kewajipan mengerjakan haji telah sampai kepada bapaku dan dia adalah seorang yang sangat tua yang tidak mampu untuk duduk di atas kenderaan. Apakah boleh saya menggantikan dia menunaikan haji? Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Ya’, al-Fadhl bin ‘Abbas memandangnya. Beliau adalah seorang wanita yang cantik. Lalu Rasulullah SAW memalingkan wajah al-Fadhl ke arah lain.”
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin
Kami memohon maaf kepada Puan Latheefa Koya sekiranya tulisan ini mengguris perasaan Puan. Namun, artikel ini - sebagaimana artikel-artikel lain dalam laman web www.muftiwp.gov.my - ditulis untuk meluruskan salah faham dalam kalangan umat Islam, mengayakan perbendaharaan fikah dalam Islam, juga sebagai hab rujukan bagi persoalan keagamaan, bukan sahaja rakyat Malaysia bahkan masyarakat antarabangsa. Tidak ada niat lain melainkan untuk melihat kita semuanya hidup aman dan damai di bawah lembayung rahmat Ilahi.
Untuk rujukan tambahan, sila klik:
Bayan Linnas Siri ke-169: Fenomena "Tidak bahagia bila bertudung"
DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah mufti Wilayah Persekutuan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.