Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Berjuta-juta ringgit dana masyarakat India diseleweng’
Diterbitkan:  Apr 16, 2019 12:21 PM
Dikemaskini: 4:38 AM

Peruntukan berjuta-juta ringgit yang disalurkan kerajaan kepada ratusan NGO bagi membantu masyarakat India dikesan disalah guna, termasuk untuk kepentingan peribadi.

Pemeriksaan Jabatan Audit Negara (JAN) menunjukkan dana itu diperuntukkan melalui Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic) yang ditubuhkan bawah kerajaan BN dulu bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun Sedic telah dibubarkan dan dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) dan masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri

Ketua Pengarah Mitra S Letchumanan berkata laporan awal JAN menunjukkan bahawa kebanyakan geran tidak digunakan untuk menjalankan program untuk komuniti India, lapor The Star.

"Sebaliknya, beberapa NGO membeli aset untuk organisasi mereka. Beberapa NGO adalah entiti yang dikendalikan oleh keluarga dengan pemegang jawatan yang terdiri daripada ahli keluarga.

"Ada di antara mereka yang telah hilang, dengan pemeriksaan menunjukkan bahawa NGO memberikan alamat palsu," katanya dalam wawancara bersama harian berbahasa Inggeris itu.

Letchumanan berkata kira-kira 800 NGO telah menerima dana Sedic sebelum ini dan kebanyakannya "bermasalah".

Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh pentadbiran sebelum ini, lebih RM230 juta telah dikeluarkan melalui perbelajaan operasi dan pembangunan untuk melaksanakan program dan projek untuk komuniti India sejak 2014.

Sedic telah ditugaskan untuk memberi geran dan bantuan kepada NGO India untuk menguruskan program bantuan kemasyarakatan.

Dalam pada itu, Letchumanan berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung NGO berkenaan dan akan menyenaraihitamkan selain merancang untuk melaporkan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sejak memegang teraju itu pada Dis tahun lalu, Letchumanan berkata Mitra menetapkan beberapa kriteria ataupun standard prosedur operasi (SOP) bagi mengelakkan penyalahgunaan sistem khususnya membabitkan dana awam.

"Kami datangkan dengan satu set keperluan dan SOP untuk NGO yang mahu memohon geran dari kami, '' katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS