Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: PH kurangkan rasuah hampir 90 peratus, kata Dr M
Diterbitkan:  Apr 7, 2019 11:32 AM
Dikemaskini: 4:53 AM

Kerajaan PH telah berjaya mengurangkan rasuah di negara ini sebanyak kira-kira 90 peratus sejak mengambil alih Putrajaya tahun lepas, maklum Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam temu bual eksklusif dengan New Straits Times (NST) hari ini, perdana menteri menjelaskan walaupun berlaku pengurangan dalam kes rasuah, kerajaan masih membongkar amalan "yang hampir tidak berkesudahan" oleh pentadbiran terdahulu.

"Ketika pentadbiran saya dahulu, rasuah tidak begitu teruk sehingga kerajaan tidak dapat berfungsi. Segala-galanya boleh dibina dan rakyat yakin kepada kami.

"Tetapi apabila Najib (Razak) mengambil alih, terdapat banyak rasuah yang membabitkan beliau, beliau ialah ketua kerajaan pada masa itu. Apabila ketua pemerintahan dikenali korup secara terbuka, maka seluruh jabatan pemerintah menjadi korup. Rasuah era Najib melibatkan skala yang sangat besar," kata pengerusi PH.

Menurut beliau, amalan itu berhenti hampir serta-merta sejurus PH mengambil alih kuasa pada 9 Mei tahun lepas, dengan kejadian rasuah menjadi "sangat sedikit."

Skandal BN: 1MDB, Felda, Tabung Haji

"Sebagai contoh, seorang setiausaha politik dituduh mengambil jam tangan atau sesuatu seperti itu. Ini tidak ada apa-apa berbanding dengan berbilion-bilion yang dicuri sebelum ini. 

"Jadi saya boleh katakan kita telah mengurangkan rasuah sebanyak 90 peratus. Kami tidak lagi menerima aduan apabila seseorang itu memegang jawatan, mereka meminta wang," katanya.

Mahathir kemudian memaklumkan senarai skandal kewangan yang melibatkan kerajaan BN, seperti 1MDB, dana pencen, Tabung Haji dan Felda - kesemuanya kehilangan wang disebabkan kecurian atau pengurusan kewangan yang buruk.

'Flip-flop satu keperluan'

Dalam wawancara itu, beliau juga ditanya tentang dakwaan pentadbirannya membuat 'pusingan U' dalam pelbagai isu serta penangguhan beberapa janji pilihan raya PH.

Bagi Mahathir, 'pusingan U' itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi membetulkan keputusan silap yang dibuat.

"Kami sedang berusaha (tentang janji pilihan raya) tetapi ia tidak boleh dilakukan dengan masa yang singkat. Anda berdepan banyak masalah. Anda perkenalkan satu sistem dan mendapati ia salah. Anda perlu buat pembetulan... Tak boleh kata 'Saya sudah buat keputusan. betul atau tidak, perlu diteruskan'. Itu pendirian yang bodoh, hanya kerana anda mahu kata 'saya tidak flip-flop'.

"Tetapi flip-flop sesuatu yang perlu bila anda dapati apa yang anda buat itu siap. Tetapi tentulah sebelum itu anda perlu kaji dengan teliti, tahu semua fakta dan latar belakang sebelum buat keputusan. Itulah yang kami sedang lakukan," katanya.

Beliau berkata usaha mencari penyelesaian juga mengambil masa.

Beliau memberikan pembatalan kontrak kerajaan sebagai contoh: "Kami dapati kesannya lebih teruk daripada jangkaan. Anda menimbang untuk hentikan kontrak, tetapi ia menyebabkan hilangnya peluang pekerjaan. Jadi bila kami dapati perkara itu, tak boleh kata 'kami sudah buat keputusan'... Ini tidak baik. Anda perlu tangani masalah ini".

"Kami perlu batalkan keputusan. Jika kami tidak berbuat demikian hanya kerana mahu kekalkan keputusan dan tidak dituduh flip-flop, kami bersikap tidak adil kepada ramai orang."

Berkenaan nasib projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Mahathir sekali lagi berkata ia akan diteruskan dengan skala lebih kecil dan kos lebih rendah.

Pada masa ini, kerajaan masih dalam rundingan dengan kerajaan China berhubung perkara itu dan diketuai bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Kerajaan sebelum ini mendakwa perjanjian yang dimeterai pentadbiran BN berat sebelah.

"Jika kita batalkan kontrak, kita perlu bayar pampasan besar. Jika kita teruskan, kita tak perlu bayar pampasan, tetapi kosnya akan kurang. Jadi ini masih diteruskan.

"Bukan senang untuk pujuk kontraktor bahawa 'anda perlu kurangkan kos', 'anda perlu kurangkan skala (projek)'... Tentulah, kontraktor yang menyertai projek ini berharap untuk membuat untung yang besar, tetapi kaim sedang cuba mengurangkan jumlahnya.

"Tentu saja dia (kontraktor) kurang senang untuk kurangkan kontrak kerana dia mahu buat untung," katanya lagi, sambil menambah tiada tarikh akhir ditetapkan bagi rundingan ECRL.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS