Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘PH dan keluarga saya sokong Mahathir sebagai PM’
Diterbitkan:  Mar 26, 2019 4:24 PM
Dikemaskini: 8:24 AM

Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mengulangi sokongan keluarganya kepada Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan pemimpin Pakatan Harapan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Anwar berkata dakwaan anaknya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar meragui kepimpinan Dr Mahathir adalah tidak berasas.

Katanya, komen Nurul Izzah, yang diterbitkan di Straits Times Singapura, tidak memfitnah Dr Mahathir.

“Kenyataan itu dibuat dah lama dan dilaporkan oleh Straits Times Singapura. Saya tentu faham dan prihatin tentang pandangannya.

(Ia) bukan sangat merujuk kepada Mahathir tetapi ada juga kerana suara-suara sumbang yang terus membuat serangan kepada kelompok lain.

“Ada setengah orang fikir ini macam kerajaan Umno dulu, tidak. Jadi kita beri ruang, tapi pendirian kita termasuk saya dan keluarga untuk beri sokongan dan ruang kepada Dr Mahathir sebagai pemimpin dan PM,” katanya.

Anwar diminta mengulas wawancara Nurul Izzah dengan Straits Times yang memetiknya sebagai berkata Mahathir adalah "bekas diktator".

Bekas naib presiden PKR itu dilaporkan menyebut “perlu bekerja dengan bekas diktator yang telah menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam hidup (keluarga) kami bahkan kepada sistem (pemerintahan negara), ia bukan mudah.”

Kenyataan itu kemudiannya mengundang beberapa kritikan, termasuk daripada setiausaha politik Mahathir, Abu Bakar Yahya.

“Tak apalah itu pandangan dia, saya jelaskan pandangan kita, peringatan supaya semua pihak faham dan setuju dan patuh kepada perjanjian dan persefahaman di antara kita. dan kemudian tumpu bangun ekonomi membela rakyat,” katanya.

Mengenai keputusan Dr Mahathir untuk mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Anwar berkata janji pilihan raya PH adalah supaya jawatan itu diperuntukkan kepada pembangkang adalah jelas.

Katanya , perkara itu sepatutnya ditangani oleh speaker Dewan Rakyat, atas nasihat perdana menteri.

“Sepatutnya speaker ataupun wakil-wakil parlimen termasuk PAC bincang dengan PM untuk mencapai kata sepakat yang lebih baik.

“Masalahnya macam saya, orag tanya... manifesto PH terlalu jelas, ia tidak kabur. Jadi oleh itu kita harus cari jalan bagaiman kita boleh selesaikan lebih baik, dan ini tugas speaker dan kalau perlu dia hanya tanya pandangan dan nasihat PM,” kata Anwar.

Menurut Anwar, jika PH berpendapat bahawa Kiandee harus "diberi ganjaran," terdapat jawatan lain yang boleh diberikan kepadanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS