Paling Popular
Terkini

Mengikut kata sahibul hikayat maka Pakatan Harapan (PH) pun kalahlah dalam pilihan raya kecil Semenyih. Maka anak-anak muda pun berkumpul dan menari-nari. Bertandak dan berjoget. Sambil berjoget sambil membuat pantun sebagai kenang-kenangan zaman berzaman.

Siakap senohong
ikan kelah ikan tengeh;
selalu cakap bohong
jawabnya kalah di Semenyih

Maka seantero bumi Pakatan Harapan pun sibuk mencari sebab musabab kekalahan. Malah sosok seperti YB DAP Ronnie Liu yang jarang berfikir panjang pun mengeluarkan pendapat hingga dilapor oleh portal berita.

Kelihatan semua ini pencarian sebab musabab rambang. Segala satu macam kisah yang memperkukuh sebab musabab pun dikumpul. Ada yang menyakitkan hati dan ada yang menggembirakan.

Dari segala sudut kita dapat mendengar sebab musabab kenapa Pakatan Harapan kalah di Semenyih. Dari segi politik. ekonomi, sosial termasuk kekalahan dari sudut seks.

Dari sudut seks? Ini kes apa ini? Sabar dulu baca tulisan ini sampai habis.

Saya sendiri tanpa membaca akhbar. Tanpa memiliki telefon bijak penyampai berita WhatApps. Tanpa menonton TV. Saya cuma menerima beberapa kerat SMS. Maklumat pesanan ringkas ini entah dari sapa-sapa. Entah hantu kopek mana yang ingin menyampaikan buah fikiran dan kekecewaan mereka kepada saya.

Semua maklumat ini saya kumpulkan. Kemudian saya bersembang dan berlabun dengan kawan-kawan yang menyokong Pakatan Harapan. Ada kawan bekas aktivis yang dah jadi pegawai menteri. Ada minah yang kini bekerja dengan kerajaan negeri. Ada aktivis yang tak tahu apa nak diaktiviskan lagi kerana sudah ada kerajaan.

Kepada saya, labun mereka ini menjadi sumber maklumat kelas A. Hakikatnya saya tahu apa yang terjadi. Jangan ingat kerana saya tak ada TV maka saya tidak tahu apa berita terkini. Jangan ingat saya tidak memiliki telefon pintar maka saya jadi Lokman Adam.

Saya mendengar pelbagai surah. Saya mendengar dan membuka telinga. Pelbagai bentuk dan rupa tok perawi datang. Semua mengakui membawa khabar-khabar sahih.

Dari surah dan khabar ini saya membuat rumusan tentang Semenyih.

Waythamoorthy

Saya yakin kes Waythamoorthy, si mamat yang cuba menjadi wira perjuangan India ini mempengaruhi keputusan di Semenyih. Si wira ini sedang senyap tak bersuara lagi tapi bahang celopar mulutnya belum selesai. Nama Adib masih segar di telinga.

Keyakinan saya ini diperkukuhkan dengan adanya satu tunjuk perasaan yang kecil selepas sembahyang Jumaat, sehari sebelum membuang undi.

Rentak boria yang sama

Demo kecil ini bukan kes kuil. Ini kes hina nabi. Tapi rentak dan bunyinya sama. Tukang pukul gedang dan tetawak pun dari pembacaan saya datang dari kumpulan boria yang sama. Apa isi dan bentuk nabi dihina - wallahualam bisawab.

Saya juga menerima khabar bahawa ramai anak muda menyampah dengan Pakatan Harapan kerana kes ganja. Ops, kes rokok! Di Semenyih, anak muda memprotes hak mereka untuk merosakkan paru-paru mereka. Anak muda memprotes hak mereka untuk menjadi bodoh. Hak-hak asasi mereka ini telah diganyang oleh menteri kesihatan Pakatan Harapan.

Anak muda ajar mereka di Semenyih.

Menurut surah anak-anak muda, cara dan bunyi suara menteri kesihatan menjawab kes rokok dianggap kurang sopan, angkuh, sombong dan hampir-hampir menjelma menjadi Lokman Adam.

Sebenarnya kes rokok dan kes kuil ini sama. Dua pak menteri ini memang berniat baik. Tidak ada niat jahat dalam benak mereka. Mereka mahu menjadi wira rakyat. Mereka nak buktikan kepada para pengundi bahawa mereka sedang melakukan sesuatu. Nak membuktikan bahawa kementerian mereka menjalankan tugas.

Tetapi pak menteri dua ekor ini terlupa tentang konsep demokrasi. Tentang konsep berbincang. Tentang mendengar pandangan orang lain dalam usaha, niat dan cita cita mereka untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan umat.

Yakinlah sejarah telah dan masih membuktikan bagaimana Presiden Bush dari Rumah Putih datang membawa projek kebebasan dan demokrasi untuk warga Iraq. Hasilnya apa? Gua tak mahu komen. Lu fikir sendirilah.

Hang Jebat ada beri ingatan, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Hishamuddin Rais ada berkata, buat baik tak ada salah tapi bincang terlebih dulu. Hang bukan 'terer' sangat. Amin.

Dari Pahang saya membaca kenyataan dari seorang gedebe PKR yang memberi sebab kenapa kalah. Mengikut gedebe ini kekalahan disebabkan Pakatan Harapan telah hilang roh dan jiwa. Bukan lagi berjiwa rakyat.

Ini juga sebab yang betul. Kecil pinggan tose dulang tembaga saya hulurkan kepada gedebe ini. Dalam masa sembilan bulan ini kelihatan Pakatan Harapan, lebih tepat lagi kelakuan dan perangai para gedebe dan menteri, cukup memualkan.

Umum telah merasakan bahawa gedebe dan menteri ini merasa bahawa kemenangan 9 Mei dahulu adalah kemenangan mereka.

Mereka telah mabuk ganja. Ops, maaf, mereka telah mabuk kuasa! Mereka lupa yang menjatuhkan Najib dan Rosmah ialah orang ramai. Undi dan sokongan orang ramailah yang membolehkan Dr Dzul dan Waythamoorthy menjadi menteri.  

Perkara ini wajib ditanamkan ke dalam benak mereka yang semakin tebal seperti kepala Lokman Adam.

Dari Nogori kita terdengar suara seorang mamat veteran. Si mamat ini halus bahasanya. Cakapnya bersopan. Yang keluar dari mulutnya pastilah berbudi dan berbahasa.

Sekali sekali perlu membuluh

Rais Yatim membuka surah tentang suara dan perangai DAP. Ini berkait rapat dengan bunyi suara dan komentar politik dua beranak dari keluarga Lim. Dalam bahasa Melayu, dalam istilah Rais Yatim, parti Cina DAP ini wajib dilunakkan.

Zaman saya kanak-kanak dulu selalu saya terdengar kisah dan teladan tentang mulut anak-anak kena lada kerana celopar. Sebenarnya bukan terkena lada tapi sengaja disapu lada padi. Nak beri pengajaran.

Dalam kuliah politik hari ini mulut wajib dilada hanyalah satu konsep. Mustahil Mahathir akan melada mulut Guan Eng dan mulut Kit Siang atau mulut Ronnie Liu.

Saya tak nak komen tentang suara dari 'menteri buluh'. Tak baik. Faham fahamlah maknanya. Sekali sekali perlu juga membuluh. Nak tahu maknanya ayat saya ini sila tanya Rais Yatim.

Dalam fikrah saya apa saja hujah yang kita dengar minggu ini tentang sebab musabab Pakatan kalah di Semenyih adalah sahih. Walaupun bunyinya bodoh. Tapi dalam suasana sekarang Pakatan harapan wajib menerima- yang baik atau yang busuk.

Mesti ada yang bersuara - Hishamuddin Rais ini kaki complaint. Pandai complaint. Tapi tidak memberi jalan keluar. Sabar dulu beb. Saya memiliki jalan keluar yang cekap, pantas dan tuntas.

Kita dengar Pakatan Harapan tidak tunai janji. Satu Semenyih heboh dengan labun janji Pakatan Harapan. Cakap-cakap tak tunai janji ini memang tepat. Janji wajib ditepati bukan dicapati.

Justeru jalan keluar yang cepat dari suasana muram ini dan sebelum bertempur di Rantau ialah menunaikan janji. Tunaikan dengan cepat dan pantas.

Mustahil kita lupa dengan janji kita. Saya tidak akan lupa bermalam malam di pentas ceramah melaungkan janji yang akan dilakukan apabila Pakatan Harapan menubuhkan kerajaan baru.

“Bila kita tubuhkan kerajaan baru, Najib dan Rosmah akan di tangkap, mereka masuk penjara.” - Petikan ucapan Hishamuddin Rais

“Tun, sila angkat pen. Lihat Mahathir masih boleh angkat pen. Pen ini untuk tandatangan Najib dan Rosmah masuk penjara.” - Petikan ucapan Mat Sabu

Ingat. Ingat. Ingat. Mari kita bersama-sama melawan lupa.

Bukankah kita telah berkempen ke hulu ke hilir berjanji untuk menangkap Najib dan Rosmah. Bukankah dari Kangar hingga ke Gelang Patah hingga ke Tanjung Piai hingga ke Gua Musang hingga ke Kota Belud hingga ke Kuching kita telah berjanji.

Kita berjanji akan menangkap pencuri, penyamun, perompak, perasuah dan penyalah guna kuasa.

Mana janji itu? Azeez Tabung Haji. Isa Samad. Tengku Adnan. Nazri bin Aziz. Azalina. Sahrizat. Zahid Hamidi. Mat Hasan. Khairy Jamaluddin. Hishamuddin Hussein. Apa jadi?

Dunia mengetahui bahawa si Najib dikaitkan dengan kes pembunuhan. Ini bukan lebong dari Hishamuddin Rais. Ini laporan TV Australia. Khalas.

Hei, bro Muhyiddin

Saya difahamkan kaki busuk, orang jahat di belakang tabir sudah dibenarkan keluar negara. Apakah ini betul? Jika betul kita mahu tanya Bro Muhyiddin.

“Hei bro, apa sudah jadi? Rusuk siapa telah patah?”

Hakikatnya, orang ramai mahu semua orang jahat masuk penjara. Inilah janji yang dinanti-nanti oleh orang ramai. Janji ini wajib dituntaskan dengan segera.

Lim Guan Eng tidak perlu pergi ke China untuk pinjam duit untuk menunaikan janji ini. Azmin Ali tak perlu pinjam duit Bank Dunia atau International Monetary Fund untuk memenjarakan Najib dan Rosmah. Kita tidak perlu tunggu Jabatan Penjara Malaysia menjadikan quinoa pengganti nasi.

Masukkan orang-orang jahat ke dalam penjara sekarang. Sudah hampir satu tahun.

Najib dan Rosmah di mahkamah.

Justeru wajib disedari bahawa orang ramai kecewa kenapa Najib dan Rosmah tidak memakai baju kuning - orang kena tuduh- ketika ditahan. Kenapa Najib dan Rosmah tidak digari.

Malah saya dengar si Najib ini enggan masuk ke kandang orang salah ketika dibicarakan di Mahkamah Jalan Duta.

Woit, si Najib ini siapa? Kenapa si Najib berani berbuat demikian? Hadiahkan Najib satu penampar untuk sedarkan dia bahawa United Malays National Organisation akan dipadamkan.

Ops, hampir terlupa, kekalahan Pakatan Harapan di Semenyih dari sudut seks. Kisah-kisah seks ini dimunculkan kembali akibat kemarahan parti Islam PAS terhadap Anwar Ibrahim. Parti Islam marah kerana Anwar membocorkan maklumat yang mendakwa bagaimana parti Islam ini membayar untuk menyelesaikan kes dengan Sarawak Report di mahkamah.

Seorang gedebe pemuda parti Islam ini telah membuat surah untuk membuktikan bahawa kekalahan Pakatan di Semenyih ini adalah akibat pengundi parti Islam PAS benci kepada Anwar Ibrahim. Amin.

Siakap senohong
dalam belanga kena tumis;
buat janji bohong
mulut ternganga gigi tersengeh.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS