ANALISIS | Jika pada empat pilihan raya kecil sebelum ini Pakatan Harapan mampu mengekalkan kerusi mereka dengan selesa, tetapi bagi PRK Cameron Highlands kali ini, PH perlu melalui jalan yang berliku untuk merampas kerusi yang secara tradisinya disandang oleh MIC itu.
Pada minggu pertama kempen, PH sudah membawa turun nama-nama besar dan menteri mereka seperti Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Presiden PKR Anwar Ibrahim di salah satu dari dua Dewan Undangan Negeri di bawah parlimen Cameron Hihglands iaitu Jelai.
Namun, amat mengejutkan ceramah perdana pada 17 Januari itu tidak mendapat sambutan hangat seperti ceramah-ceramah anjuran PH sebelum ini di tempat lain.
Malah, forum perdana hal ehwal Islam dari pendakwah bebas Ustaz Kazim Elias yang turut diadakan pada masa yang sama di masjid berdekatan di Felda Sungai Koyan lebih mendapat sambutan daripada ceramah menteri-menteri.
Antaranya merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa, Timbalannya Fuziah Salleh, Menteri Komunikasi Gobind Singh Deo dan Menteri Industri dan Asas Tani Salahuddin Ayub.
Persepsi negatif pada DAP
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Mohd Azlan Zainal pula berkata setakat ini, PH tidak menampakkan usaha yang setimpal untuk meraih undi dari kaum Melayu dan Orang Asli di Cameron Highlands.
"Faktor calon PH, M Manogaran seorang India menyukarkan PH untuk masuk dan menerobos ke kawasan ini terutama di Jelai.
"Tambahan pula, serangan terhadap kerajaan PH bertali arus membentuk persepsi negatif orang Melayu terhadap DAP.
"Walaupun BN pada hakikatnya tidak mempunyai sebarang tawaran dalam PRK kali ini, tetapi gabungan itu mengambil tindakan menyerang terhadap isu agama dan kaum.
"Atas kelemahan menangani isu-isu Melayu dan Islam serta ketiadaan sumbangan atau insentif kepada masyarakat Orang Asli, semua ini dimanipulasi sebaiknya oleh BN untuk melonjakkan sentimen penolakan kepada PH dalam PRK kali ini," katanya.
Azlan juga berkata, slogan "Tiada Janji Lihat Bukti" dari BN merupakan satu psikologi songsang (teknik menarik perhatian dengan rangsangan berlawanan) bagi meraih simpati untuk mengekalkan undi orang Melayu dan Orang Asli.
Najib adalah hero di Jelai
Menurut penganalisis politik Ibrahim Suffian, keadaan sekarang menyaksikan pertandingan yang sama rata di antara Barisan Nasional dan PH.
"BN sedang cuba meraih sokongan daripada penyokongnya dan juga dari PAS.
"Mereka juga perlu mempertahankan sokongan daripada sejumlah besar pengundi Orang Asli di sana," katanya kepada Malaysiakini.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini, rata-rata pengundi di Jelai yang majoritinya pengundi Melayu masih sangsi dengan pentadbiran baru PH.
Di Jelai penduduk Melayu terdiri daripada 64 peratus daripada 12,543 jumlah pengundi di situ.
Sayang mereka terhadap bekas perdana menteri Najib Razak tiada tolok bandingnya, malah kehadirannya juga beberapa hari lalu disambut dengan meriah.
Bagi penduduk peneroka Felda di situ, Najib adalah hero yang membela kebajikan mereka. Menurut mereka, ketika zaman pentadbiran Najib, pendapatan bulanan peneroka tidak kurang daripada RM2,000.
Tetapi hari ini selepas kerajaan persekutuan diambil alih oleh PH, mereka menyaksikan bayaran yang lewat, hasil pendapatan yang kurang.
Penjelasan mengenai harga kelapa sawit rendah juga tidak diterima mereka. Terdapat 3,822 pengundi di Felda Sungai Koyan 1, 2, dan 3, di Jelai.
Mereka lupa dengan semua pertuduhan Najib berkaitan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagi mereka, isu tersebut terlampau rumit untuk dihadam. Apa yang lebih penting adalah insentif dan bantuan sara hidup mereka yang diperolehi ketika zaman pentadbiran Najib.
Dari mana atau bagaimana peruntukan wang tersebut diperolehi bukan satu yang perlu dititikberatkan.
Untuk rekod, Najib kini berhadapan 38 pertuduhan berkaitan dengan 1MDB, termasuk dakwaan pengubahan wang haram, penyalahgunaan kuasa dan juga jenayah pecah amanah.
Faktor kaum penting
Azlan juga berkata isu perkauman berikutan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield sheingga menyebabkan seorang anggota bomba bertugas, Adib Mohd Kassim cedera parah dan meninggal dunia menambahkan rasa tidak selesa orang Melayu terhadap calon PH.
Malam tadi, Presiden PAS Abdul Hadi Awang hadir sepentas di Jelai bersama Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menjalankan tugas-tugas presiden parti itu.
Bagaimanapun, Azlan percaya penyokong PAS akan pecah kepada tiga kumpulan pada hari pengundian nanti.
"Pertama, mereka akan mengundi calon bebas yang dilihat Melayu dan termasuk pengundi yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan calon terutama di Sungai Koyan (Sallehudin Ab Talib).
"Kedua, mengundi untuk calon BN atas arahan parti dan kelompok ketiga tidak keluar mengundi sebagai tanda protes terhadap kerjasama Umno-PAS," katanya.
Modal BN yang menggunakan kegagalan PH dalam menunaikan semua janji manifestonya nampaknya berkesan apabila perkara sama turut dibangkitkan oleh penduduk di Jelai.
Bagi sesetengah penduduk di Jelai yang ditemui, mereka berpendapat persoalan siapa calon menjadi lebih penting daripada apa yang boleh ditawarkan kepada mereka.
Terdapat penduduk yang diwawancara memberitahu mereka tidak kisah siapa yang diletakkan sebagai calon, janji calon tersebut mempunyai 'bin' pada namanya.
Entah apa ada pada nama sehingga penyokong PAS di situ turut menitik-beratkan perkara yang sama bagi PRK kali ini. Lebih-lebih lagi apabila pemimpin dari parti Islam itu mula berkempen bagi calon BN di situ bagi menggesa pengundi PAS di kawasan tersebut mengundi calon BN.
BN melanggar tradisi dengan tidak meletakkan calon MIC dan buat pertama kalinya meletakkan calon kaum Orang Asli dari suku kaum Semai, Ramli Mohd Nor yang bukannya anggota mana-mana parti dalam BN.
PH meletakkan calon dari DAP, Manogaran yang merupakan percubaan kali ketiganya di situ.
Penduduk Melayu di kawasan itu dijangka memainkan faktor penting dalam PRK tersebut pada 26 Januari ini.
Tanah Rata
Manogaran diterima baik oleh kebanyakan penduduk di Tanah Rata. Ini boleh dilihat pada sambutan yang memberangsangkan apabila beliau mengadakan aktiviti berkempen dalam majlis kutipan dana makan malam pada Sabtu lalu (19 Januari) yang menyaksikan kehadiran kira-kira 500 orang.
Bagaimanapun, Ibrahim mengingatkan bahawa hari mengundi sangat hampir dengan Tahun Baru Cina, di mana peluang bakal tidak memihak kepada PH.
"Peluang mereka tipis kerana peratusan keluar mengundi rendah di kalangan pengundi Cina di sana.
"Jika ramai kaum Cina yang pulang mengundi, keputusan akan memihak kepada PH, tetapi dengan perayaan Tahun Baru Cina yang semakin hampir, kemungkinan mereka tidak akan pulang untuk mengundi dalam pilihan raya yang tidak mengubah corak politik negara," kata Ibrahim.
DUN Tanah Rata terdiri daripada 48 peratus pengundi Cina, 14 peratus Melayu, 24 peratus india dan 14 peratus lain-lain.