ADS
mk-logo
Berita
Wanita China edar dadah: Mahkamah kekalkan hukuman mati
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 4:39 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang wanita warganegara China kerana mengedar 2,156.8 gram methamphetamine yang dijumpai di dalam tiga bantal di dalam bagasinya di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang, pada 2013.

Panel tiga hakim dipengerusikan Umi Kalthum Abdul Majid sebulat suara menolak rayuan Yan Lanhua, berusia 30-an, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya yang dijatuhi Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 September 2017.

Hakim Umi Kalthum yang bersidang dalam pendengaran rayuan itu bersama-sama hakim Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata panel itu mendapati rayuan oleh perayu (Yan) tiada merit.

“Sehubungan itu, kami menegaskan sabitan dan hukuman ke atas perayu yang dijatuhi oleh Mahkamah Tinggi,” kata beliau selepas mendengar penghujahan oleh peguam Mak Kah Keong yang mewakili wanita itu dan Timbalan Pendakwa Raya K Mangai bagi pihak Pendakwa Raya.

Hantar beg ke rakan 'Baba'

ADS

Yan, didapati bersalah mengedar 2,156.8 gram methamphetamine di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2, LCCT, di Sepang, Selangor, sejurus tiba dari Shenzhen, China, pada 4.15 petang, 15 November 2013 mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, wanita itu membawa sebuah beg pakaian biru mengandungi barangan kanak-kanak termasuk tiga bantal kecil, kasut serta pakaian dan semasa pemeriksaan, dadah itu dijumpai di dalam bantal.

ADS

Perayu, semasa perbicaraan, bagaimanapun menafikan dia tahu tentang dadah terbabit dan mendakwa beg biru itu diberi kepadanya oleh individu warga Afrika bernama ‘Baba’ di lapangan terbang. 

Dia hanya melihat sepintas lalu tetapi tidak nampak barang yang meragukan di dalam beg itu.

Wanita itu menyatakan bahawa ‘Baba’ memintanya supaya menghantar beg itu kepada rakannya (Baba) di Malaysia dan ‘Baba’ melunaskan bayaran tiket penerbangan serta memberinya sedikit wang belanja sepanjang dia berada di Kuala Lumpur.

Edar campuran heroin

Dalam kes lain, mahkamah sama turut menegaskan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang lelaki Sharin Abu Bakar, 41, kerana mengedar 27.30 gram campuran heroin dan monoacethylmorphines, di Jalan Kembia 10, Taman Puteri Wangsa Pelangi Indah, Johor Bahru, Johor, pada 10.30 malam, 12 Mac 2016.

Hakim Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Rhodzariah Bujang dan Mohamad Zabidin Mohd Diah menegaskan bahawa panel itu sebulat suara mendapati isu yang dibangkitkan dalam rayuan itu tiada merit.

“Keterangan adalah kukuh dan sabitan adalah selamat. Justeru rayuan ditolak, sabitan dan hukuman dikekalkan,” katanya selepas mendengar penghujahan oleh peguam Andrew Lourdes yang mewakili Sharin dan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir bagi pihak Pendakwa Raya.

Sharin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Ogos 2017, yang mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati ke atasnya selepas didapati bersalah mengedar dadah itu mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS