Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ: PTPTN hutang lebih RM40b, tak perlu bayar zakat
Diterbitkan:  Dec 28, 2018 11:34 PM
Dikemaskini: 3:34 PM

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak wajib membayar zakat RM1 juta kerana kedudukan kewangannya, kata Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

"Wan Saiful perlu sedar bahawa PTPTN bukanlah sebuah perniagaan, apatah lagi ianya juga bukanlah badan atau organisasi yang menjana keuntungan.

"PTPTN sendiri menggunakan dana pusingan dan setiap tahun perlu membuat pinjaman daripada institusi kewangan bagi memastikan mereka boleh menyediakan dana pendidikan kepada pelajar-pelajar.

"Sehingga kini, hutang PTPTN kepada insititusi kewangan adalah berjumlah lebih RM40 bilion," katanya dalam suatu kenyataan.

Khairy berkata salah satu syarat untuk pembayaran zakat (harta) adalah jika memiliki aset yang berpotensi berkembang dan bekas ketua pemuda Umno itu percaya PTPTN tidak memenuhi syarat ini.

Tiada lagi senarai hitam 

Menurut laporan tahunan PTPTN bagi 2016, liabiliti tabung dana itu berjumlah RM43,341,900,789 berbanding RM50,910,610,455 untuk aset.

Seperti yang dinyatakan dalam laporan Malaysiakini yang lain, PTPTN secara teknikalnya rugi antara 2011 dan 2016, jika tidak kerana menerima berbilion-bilion dalam bentuk geran daripada kerajaan persekutuan.


BACA: PTPTN 'murah hati' di utara timbulkan persoalan


Khairy turut membidas Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan yang disifatkannya tidak dapat menyelesaikan isu pembayaran pinjaman pelajar.

"Melalui Wan Saiful juga, sudah beberapa kali u-turn telah dibuat dan sehingga kini isu pembayaran PTPTN masih belum dapat diselesaikan.

"Sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara juga, bayaran balik PTPTN juga kembali merosot kerana tiada lagi senarai blacklist dan begitu ramai mengharapkan penangguhan bayaran seperti janji yang dimuatkan dalam manifesto Pakatan Harapan.

"Perkara paling asaspun Wan Saiful masih belum mampu selesaikan. Jadi saya tidak pasti di mana asas zakat yang digunakan PTPTN atau Wan Saiful dalam membuat bayaran zakat ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS