Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata beliau akan mengambil menyaman Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah kerana mengaitkanya dengan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya.
"Saya mahu saman dia (Azwanddin)... Jumpa di mahkamah.
"Saya tidak ada kaitan dengan insiden rusuhan kuil di Subang Jaya atau pemaju berkenaan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
Azwanddin, dalam himpunan di Klang hari ini mendakwa Teresa Kok mempunyai kaitan dengan pemaju yang merupakan pemilik tanah tapak kuil berkenaan.
Pemaju, One City Development didakwa mengupah samseng bagi mengambil alih kawasan kuil berkenaan yang seterusnya menyebabkan rusuhan pada 25 dan 26 Nov lalu.
Rusuhan berkenaan menyebabkan anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan seterusnya meninggal dunia pada 17 Dis lalu.
Pemaju bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan pihaknya mengupah samseng.
Sementara itu, himpunan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) yang dihadiri kira-kira 2,000 peserta hari ini diadakan bagi menuntut keadilan anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan menteri perpaduan P Waythamoorthy.
Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Azwanddin mendakwa Teresa Kok tidak menafikan kaitannya dengan pemaju berkenaan.
Untuk rekod, media sudah melaporkan penafian Teresa Kok berhubung tuduhan itu bulan lalu.
Dalam kenyataan di Facebook sebelum ini, Teresa Kok meminta dirinya tidak dikaitkan dengan insiden rusuhan berkenaan.
"Tolong berhenti heret nama saya dalam insiden rusuhan kuil di Subang Jaya. Saya tidak ada kaitan dengan pemaju atau projek di tapak tanah kuil berkenaan," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan isu sama, Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan Khairuddin Abu Hassan meminta Teresa Kok tidak melayan Azwanddin.
"Kerja dia (Azwanddin) hanyalah memfitnah orang lain tanpa asas yang kukuh.
"[...]Dia hanya nak cari publisiti murahan saja," katanya melalui kenyataan media.
Sebaliknya, Khairuddin mencadangkan agar Teresa terus menumpukan pada usaha membina semula negara.
"Adalah lebih baik serta manfaat bagi Teresa Kok untuk tumpu dalam perjuangan mempromosikan minyak sawit bagi menembusi pasaran negara-negara eropah. Ini lebih penting untuk negara kita.
"Menteri-menteri kabinet kerajaan PH mempunyai agenda yang lebih besar daripada memberi perhatian kepada orang macam Azwanddin," katanya.