Para pelabur di Amerika Syarikat telah memfailkan saman tindakan perwakilan atau berkumpulan (class action) terhadap bank Goldman Sachs dan tiga eksekutif bagi menuntut ganti rugi berhubung urus niaga membabitkan 1MDB.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, saman tersebut menyatakan antara 28 Februari 2014 dan 17 Disember 2018, Goldman telah membuat "kenyataan palsu dan memperdaya" mengenai perniagaan dan operasinya.
Saman itu berkata hal ini termasuklah maklumat "Goldman ikut terlibat berpakat secara sulit dengan 1MDB dalam rancangan jahat penipuan dan pengubahan wang haram ."
Pegawai kanan pengurusan yang dinamakan ialah CEOG oldman Lloyud Blankfein dan dua bekas ketua pegawai kewangan Harvey Schwartz dan Martin Chaves.
Kegiatan penipuan dan pengubahan wang haram merujuk kepada bekas eksekutif Goldman Tim Leissner dan Roger Ng.
Leissner pada Oktober mengaku salah terhadap dua pertuduhan konspirasi untuk mengubah wang dan konspirasi melanggar Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA).
'Akibat silap, pelabur rugi besar'
Sementara itu, Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa Ng berkonspirasi dengan Jho Low untuk mengubah berbilion ringgit yang dilesapkan dari 1MDB dan berpakat untuk melanggar FCPA dengan membayar rasuah kepada para pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.
Tuntutan menyatakan sepanjang tempoh tuntutan saman ganti rugi itu, Goldman gagal mendedahkan sejauh mana urusannya dengan 1MDB, walaupun ia sedang disiasat oleh DOJ.
"Akibat daripada perbuatan salah dan kesilapan yang dilakukan oleh defendan, dan penurunan nilai pasaran sekuriti syarikat, plaintif dan sekumpulan individu (pelabur) yang membuat tuntutan ini telah mengalami kerugian dan kerosakan yang besar," katanya.
Saman itu mengatakan tidak jelas berapa banyak pelabur telah terjejas kerana ia boleh jadi melibatkan "ratusan atau ribuan orang."
Saman itu menuntut ganti rugi yang tidak ditentukan, serta bayaran dan perintah lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Saman berkenaan dibuat empat hari selepas Peguam Negara Tommy Thomas memfailkan tuduhan jenayah terhadap Goldman, Leissner dan Ng atas dakwaan penyelewengan AS$ 2.7 bilion dari 1MDB.
Malaysia menuntut sejumlah AS$ 3.3 bilion (RM13.8 bilion) daripada Goldman Sachs dan hukuman penjara terhadap semua individu yang dinamakan dalam pertuduhan itu..
Bagaimanapun, Goldman mempertahankan dirinya berkata kerajaan BN sebelum ini telah berbohong kepadanya.