Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Izzah tetap yakin Rafizi 'pilihan terbaik' timbalan presiden PKR
Diterbitkan:  Dec 17, 2018 7:13 PM
Dikemaskini: 1:17 PM

Anggota Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar tetap yakin Rafizi Ramli yang kalah dalam pemilihan PKR yang lalu merupakan "pilihan terbaik" untuk menjadi timbalan presiden PKR.

Nurul Izzah berkata demikian melalui kenyataan di Twitter sebagai membalas kenyataan Rafizi yang memberi sokongan berhubung tindakannya meletakkan jawatan naib presiden PKR hari ini.

"Terima kasih, teman seperjuangan, @rafiziramli. Walau saudara tidak berjaya dalam pemilihan parti, saudara telah berjaya meyakinkan saya bahawa pilihan terbaik adalah mendokong saudara selaku calon timbalan.

"Semoga Allah lindungi idealisme perjuangan kita bersama. Mara terus," katanya.

Pada pemilihan PKR yang lalu, meskipun memberi cabaran yang sengit, Rafizi gagal menewaskan Mohamed Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden. Perseteruan di antara penyokong kedua-dua pemimpin itu dilihat masih berlanjutan.

Terdahulu, Malaysiakini memetik sumber yang mendakwa kem Azmin cuba menghalang Rafizi dilantik semula menjadi naib presiden.

Sumber mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim berpihak pada Rafizi dan cuba merancang pelantikan semula berkenaan.

Selain jawatan naib presiden PKR, awal hari ini, Nurul Izzah yang merupakan anak kepada presiden PKR turut mengumumkan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang.

Beliau juga mengumumkan tidak lagi akan berkhidmat dengan kerajaan persekutuan atas sebarang kapasiti.

Untuk rekod Nurul Izzah sebelum ini dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET).

Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya ketika bekas pemimpin pusat PKR Latheefa Koya mendakwa wujud kronisme dalam pelantikan pengerusi PKR negeri.

Latheefa sebelum ini juga membidas pelantikan Nurul Izzah sebagai pengerusi PKR Pulau Pinang

Dalam perkembangan berasingan, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim hari ini menolak pelantikannya sebagai pengerusi PKR Johor dengan mendakwa proses pemilihan bagi jawatan berkenaan tidak telus.

Baca berita berkaitan:

Nurul Izzah letak jawatan naib presiden PKR
Selepas Izzah, Hassan Karim tolak jawatan pengerusi PKR Johor
Izzah letak jawatan kerana prinsip
KJ: Izzah MP contoh, sangat sia-sia jika tak kembali ke barisan depan
Izzah tetap yakin Rafizi 'pilihan terbaik' timbalan presiden PKR
Latheefa bidas lantikan pengerusi PKR


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS