KONVENSYEN AMANAH | Seorang perwakilan hari ini mencadangkan agar diwujudkan had terhadap hak keistimewaan Melayu agar kaum lain dapat turut sama bersaing secara baik.
Wakil Amanah Setiawangsa Asma Alif berkata had itu boleh ditetapkan dari segi kuota atau masa.
"Dalam hak asasi manusia di peringkat antarabangsa sekalipun ada disebutkan diskriminasi positif, iaitu keutamaan diberikan kepada suatu kaum (yang ketinggalan) untuk naik.
"Dengan kerajaan baru sekarang, saya ingin lontarkan idea bahawa hak keistimewaan Melayu perlu ada had - sama ada dari segi kuota atau masa.
"(Ini) untuk memberikan ruang kepada sahabat-sahabat kita di kalangan kaum Cina dan India, untuk naik bersaing bersama-sama," katanya di Konvensyen Amanah 2018 di Ipoh hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap untuk menyokong usul menjadikan konsep rahmatan lil alamin sebagai agenda utama negara.
Cadangan itu sejajar dengan peruntukan dalam Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) berkenaan diskriminasi positif.
Perkara 1(4) Icerd menyatakan "pendekatan istimewa untuk kemajuan memadai kumpulan kaum atau etnik tertentu...tidak boleh dilihat sebagai diskriminasi kaum, jika...ia tidak boleh diteruskan selepas objektif itu telah tercapai."
Bulan lalu, kerajaan membatalkan hasrat untuk meratifikasi konvensyen itu selepas bantahan banyak pihak.
Usul dibentangkan wakil Amanah Pulai, Abdul Aziz Muhammad yang mencadangkan konsep bermaksud 'Islam sebagai rahmat seluruh alam' itu diterapkan dalam semua bidang. sama seperti Islam hadhari yang diperkenalkan bekas perdana menteri Abdullah Badawi.
Menyokong usul itu, perwakilan Sabah Remi Ismail berkata konsep itu sudah lama diamalkan penduduk negeri itu.
Beliau berkata di sana isu berkenaan kaum dan agama jarang timbul walaupun penduduknya lebih rencam dari segi kaum berbanding Semenanjung.
"Malah ini dapat dibuktikan dengan penyertaan anggota baru Amanah di Sabah, seperti di Kota Marudu, 40 anggota baru beragama Kristian," katanya lagi.
Usul tersebut dibahaskan oleh 12 perwakilan, dan akhirnya diluluskan selepas lapan menyokongnya.
Salah seorang perwakilan Zainal Husin yang membantah usul itu berpendapat tidak perlu ada label 'rahmatan lil alamin', tetapi menekankan penerapan oleh anggota melalui cara sendiri.
"Ia bukan perkara yang boleh dilabelkan terhadap semua perkara. Untuk portfolio agama biarlah, tetapi kementerian lain haru menerjemahkannya dengan cara masing-masing," katanya lagi.
Seorang lagi perwakilan yang membantah, Hasni Hasan menyindir sikap sesetengah perwakilan yang didakwa hadir ke konvensyen semata-mata untuk menghentam pemimpin, dan menurutnya ia bertentangan dengan konsep itu.
"Tiba musim konvensyen, ada ahli dari kampung tulis karangan panjang untuk hentam pimpinan. Adakah itu rahmatan lil alamin?
"Kita ada mesyuarat, boleh tulis surat, tetapi tetap mahu aibkan pemimpin (di konvensyen)," katanya lagi.