Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy berkata beliau tidak mempunyai sebarang harta untuk diisytihar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Waythamoorthy yang merupakan pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu berkata, beliau menghabiskan wangnya sebelum ini untuk memperjuangkan masyarakat India.
"Saya sepanjang hidup saya (menjadi) aktivis, semua pendapatan saya dibelanjakan untuk memperjuangkan nasib masyarakat India yang miskin.
"Saya pun dulu peguam, tapi saya tak ada (harta) sebab semua pendapatan saya sekian lama saya dah belanjakan macam itu (perjuangkan masyarakat India)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Selain Waythamoorthy, terdapat 13 anggota parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Berdasarkan Portal Pengisytiharan Harta, Waythamoorthy antara salah seorang ahli kabinet Pakatan Harapan yang belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.
Sebelum ini, seorang lagi timbalan menteri juga dikatakan belum berbuat demikian.
Sementara itu, beliau bagaimanapun berkata telah mengisytiharkan pendapatan beliau kepada SPRM.
"Bila ada borang, saya isi semua, sumber pendapatan saya dah isytiharlah, tapi nak kata harta memang tak ada.
"Orang tanya saya, dah dua tiga kali keluar dalam berita macam saya tak isytihar harta saya, jadi saya dah suruh pejabat saya maklumkan kepada SPRM suruh letak nota pada nama saya mengatakan memang saya tak ada harta.
“Jadi sumber pendapatan sajalah," katanya.